KERUSI Petaling Jaya Utara dengan jumlah pengundi 82,000 perlu dikekalkan sebagai kawasan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi negeri kerana ia lebih mudah diuruskan, kata Penyelaras MCA Bahagian Kampung Tunku, Ch’ng Soo Chau.
Dua kerusi negeri itu- Kampung Tunku (N35) mempunyai 32,000 pengundi berdaftar sementara Damansara Utama (N36) pula mempunyai 50,000 pengundi berdaftar.
Ch’ng yang juga merupakan timbalan pengerusi MCA Petaling Jaya antara penduduk Petaling Jaya Utara yang hadir pada pendengaran awam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Hotel Concorde, Shah Alam bagi menghantar bantahan mereka terhadap proses persempadanan semula dilakukan SPR di Selangor.
“Kami bantah persempadanan semula kerana kemi merasakan pengundi di kawasan ini perlu berada dalam jumlah 100,000 pengundi sahaja.”
Katanya, kawasan itu lebih mudah diuruskan dengan jumlah pengundi sebanyak itu.
Dua kerusi negeri di bawah kawasan Parlimen Petaling Jaya Utara (P106) kata Ch’ng mewakili ciri Petaling Jaya dan kerusi tambahan tidak akan membuatkan keadaan bertambah baik.
“Ia tidak akan mewakili Petaling Jaya. Di bawah cadangan persempadanan semula, kerusi Damansara Utama akan ditukar kepada Bandar Utama, akan ada kerusi baru dan ada juga Bukit Lanjan. Jumlah pengundi akan menjadi 151,000. Ia adalah kawasan perwakilan terbesar di negara ini yang saya tahu,” kata Ch’ng.
Katanya, kawasan itu akan menjadi terlalu besar dan menyukarkan wakil rakyat untuk menguruskan kawasan dalam bandar ini.
Katanya, kawasan Bukit Lanjan sahaja lebih besar berbanding kerusi Parlimen Petaling Jaya sedia ada. Ia bermula dari Sri Damansara sehingga ke Sungai Buloh, malah merangkumi sebahagian Selayang.
“Disebabkan itu, kami membuat bantahan hari ini dan berharap ia kembali kepada status asal dengan dua kerusi negeri di Petaling Jaya Utara,” katanya.

Awal hari ini, seorang ahli Gerakan juga menyifatkan persempadanan semula itu sebagai “gerimander paling hebat berlaku” kerana mencadangkan perubahan P106 kepada Damansara dan meningkatkan pengundinya kepada 75%.
Penyelaras Gerakan Bukit Lanjan (N37), Syed Abdul Razak Alsagof berkata demikian selepas menghantar bantahan kepada SPR.
“Saya bantah sekerasnya kerana ini adalah gerimander paling hebat berlaku kerana mereka membuang 7 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dari Bandar Utama dan Kampung Sungai Ara berbanding 17 sebelum ini dan mereka berikan saya 6 PDM baru dari Templer dan 5 dari Paya Jaras.
“Ini meningkatkan pengundi Cina daripada 57% kepada 62% (47,000 kepada 61,000 pengundi),” katanya.
Katanya lagi, cadangan itu memberikan lebih ramai pengundi Cina dan mengurangkan pengundi Melayu di kawasannya.
“Orang Melayu di kawasan saya daripada 28% kurang kepada 26% dan pengundi Cina meningkat daripada 57% kepada 62% tetapi pengundi India kekal sama sebanyak 12%.
“Gerimander ini adalah pelanggaran Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang bercakap tentang hukum perkadaran,” katanya.
Kampung Sungai Ara adalah kawasan yang akan terjejas disebabkan sempadan kawasan pilihan raya baru itu.
Kata Syed Abdul, kawasan itu adalah perkampungan tradisional yang tidak sesuai digabungkan dengan kawasan perwakilan baharu.
“Mereka mempunyai masalah sosial tertentu dan perlukan perhatian, bila anda campakan mereka bersama-sama di bawah seorang ahli Parlimen, bagaimana dia hendak beri perhatian kepada penduduk di situ dan masalah mereka.”
Beliau juga mengatakan jika SPR terus mahu meneruskan persempadanan semula, mereka perlu bertemunya di Padang Mahsyar.
“Saya orang Islam dan ramai orang SPR orang Islam, kalau benda ini push through, saya guna duit sendiri dan kalah, saya akan tuntut di Padang Mahsyar pada semua orang yang percaya pada hari kiamat,” katanya.
Beliau menyifatkan cadangan persempadanan semula itu tidak adil.
“Ini tidak betul, hanya kerana nak tolong parti tertentu yang sebenarnya tak pasti menang atau tidak.
“Awak kumpulkan semua orang Melayu tetapi mereka tak tentu undi Umno, awak berlawan dengan Bersatu, PAS, Amanah dan PKR,” katanya.
Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pendengaran awam SPR akan diadakan di setiap kawasan Parlimen. – 3 Januari, 2018.
Komen