DAKWAAN wujudnya gerakan mengubah keputusan Majlis Kerja Tertinggi untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu bertujuan mengelirukan akar umbi, kata ketua bahagian parti itu.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, kewujudan gerakan tersebut juga tidak dapat dipastikan dan kini hanya menjadi cakap-cakap.
Salah seorang daripadanya, Ketua Bahagian Tun Razak Rizalman Mokhtar berkata setakat ini beliau tidak pernah didekati kumpulan berkenaan untuk mengubah sokongan.
“Saya sebagai ketua bahagian Tun Razak tak pernah didekati atau dihubungi oleh mana- mana pihak untuk melaksanakan perkara ini.
“Jadi pada saya parti dah buat keputusan dan bahagian dah buat, jadi MKT teruskanlah apa yang diputuskan.
“Jadi apa-apa tindakan yang nak ubah keputusan pertama di luar pengetahun saya,” katanya yang menganggap gerakan seperti itu sebagai tindakan tidak menghormati keputusan MKT.
Katanya, tindakan itu juga seolah-seolah cuba untuk mengelirukan akar umbi parti tersebut.
Ditanya mengenai pendirian berhubung konflik dengan Bersatu, Rizalman berkata bahagiannya memutuskan untuk mengkaji mana-mana hubungan dengan parti politik yang merugikan Umno.
“Maksudnya tak semestinya Bersatu tapi mana-mana parti sekali pun,” katanya.
Pada masa sama beliau membidas dakwaan mengenai usaha menawarkan habuan kepada ketua bahagian untuk mendapatkan sokongan.
“Maruah kita bukan hanya dinilai dengan wang RM10,000. Maruah parti jauh lebih penting,” katanya.
Beliau menjawab dakwaan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju, Rafi Awang Kechik mengenai sogokan agar pemimpin bahagian tidak menyokong keputusan MKT.
Rafi mendakwa, ketua bahagian parti itu yang dibayar RM10,000 hingga RM30,000 agar menyokong usaha meneruskan kerjasama Umno-Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rafi dalam kenyataan di Facebook mendakwa ketua bahagian itu bukan saja ditawarkan dengan duit bahkan projek infrastruktur bernilai RM300,000.
Dakwanya, kumpulan didalangi ahli MKT meminta bahagian membawa usul menyemak semula keputusan MKT mengenai kerjasama dengan Bersatu.
Ini kerana keputusan MKT pada bulan lalu untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 hanya akan disahkan dalam Perhimpunan Agung Umno pada hujung bulan ini.
Rafi dalam kenyataan turut mendakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno Shahidan Kassim antara MKT yang mendalangi usaha tersebut.
Dakwanya, Shahidan bertemu dengan pemimpin di enam bahagian di Melaka meminta usul menyokong Bersatu dan mencadangkan jawatan timbalan perdana menteri dari Umno.
Ketua Bahagian Shah Alam Azhari Shaari turut senada dan menafikan menerima tawaran dari mana-mana pihak untuk menukar pendirian itu.
Beliau berkata jika ada sebarang gerakan sekalipun ia tidak akan dapat mengubah keputusan MKT.
“Saya ada dengar-dengar juga tapi tak dapat nak bagi pencerahan sebab itu betul atau tidak.
“Tapi kalau ada gerakan pun mereka tidak boleh buat apa pun kerana kerana keputusan MKT tidak boleh dicabar.
“Kalau ada gerakan tak boleh buat apa-apa perubahan,” katanya.
Ditanya mengenai keputusan yang akan diambil bahagiannya berhubung konflik dengan Bersatu, beliau berkata mereka akan mengikut majoriti.
The Malaysian Insight sudahpun cuba menghubungi Shahidan untuk meminta beliau mengesahkan mengenai dakwaan tersebut.
Usaha memutuskan hubungan dengan Bersatu itu ditolak pemimpin Umno yang antara lain mempunyai kedudukan dalam kerajaan PN waktu ini.
Kempen untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu itu serta keputusan parti mengenainya itu tersebar selepas didakwa dibocorkan pemimpin Umno.
Rabu lepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno sudah mengenal pasti dua anggota MKT parti yang didakwa sering membocorkan maklumat mesyuarat badan it.
Laporan media menyebut, beliau mendedahkan perkara itu dalam satu ucapan kepada pemimpin Umno Melaka di Masjid Tanah, pada Isnin lalu.
Sumber yang dipetik berkata Zahid berang dengan tindakan dua ahli MKT Umno itu dan berjanji akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat mereka dari Umno.
“Zahid maklumkan dua (MKT) iaitu masing-masing lelaki dan wanita dikenal pasti hasil siasatan dilakukan,” katanya.
MKT Umno mengadakan mesyuarat yang terakhir pada 19 Februari lalu di Janda Baik, Pahang, yang antara lain membincangkan kedudukan kerjasama politik dengan Bersatu.
Keputusan mesyuarat itu tidak dihebahkan kepada umum, sehinggalah selepas bekas setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional Annuar Musa meminta penjelasan mengenainya. – 21 Mac, 2021.
Komen