MALAYSIA hari ini merekodkan 1,671 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 652, hampir dua kali ganda berbanding semalam.
Pulau Pinang melaporkan 328 kes baharu, jumlah tertinggi negeri itu dalam 16 hari sementara Sabah buat kali pertama mencatatkan tiga angka sejak 1 Mac dengan 102 kes baharu hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak merekodkan 154 kes, Johor (130), Kuala Lumpur (78), Kelantan (63), Kedah (46), Perak (37), Terengganu (32), Negeri Sembilan (25), Melaka (18), Pahang (3) dan Labuan (3).
Putrajaya dan Perlis tidak mencatatkan sebarang kes baharu.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 1,585 kes pulis dilaporkan hari ini menjadikan kes pulih keseluruhan 316,042.
Terdapat dua kes import hari ini melibatkan seorang warga asing dan seorang rakyat Malaysia.
“Buat masa ini kita ada 14,442 kes aktif, kes di unit rawatan rapi kita ada 151 kes,” kata Dr Noor Hisham.
Kes kematian hari ini pula melibatkan dua kes, masing-masing satu kes di Sabah dan Kedah, dengan kesemuanya melibatkan warganegara. – 20 Mac, 2021.
Komen