Menteri kesihatan Ecuador letak jawatan selepas 19 hari bertugas


Seorang wanita diberi suntikan vaksin Pfizer di Hospital Pablo Arturo Suarez di Quito, Ecuador. Negara itu berhadapan skandal orang kenamaan mendapat suntikan vaksin lebih awal berbanding kumpulan rentan. – Gambar AFP, 20 Mac, 2021.

MENTERI kesihatan Ecuador mengundurkan diri pada Jumaat selepas 19 hari bertugas, kata kerajaan, di tengah skandal pengedaran vaksin Covid-19 kepada orang kenamaan.

Dalam surat peletakan jawatannya, Rodolfo Fardan menekankan beliau mengundurkan diri atas alasan “sangat peribadi”.

Presiden Ecuador, Lenin Moreno menamakan pakar bedah Mauro Falconi sebagai menteri baharu.

Fardan menggantikan Juan Carlos Zevallos, yang kini dalam siasatan kerana mennyalah guna pengaruh, melarikan diri dari negara itu ke Amerika Syarikat setelah letak jawatan.

Zevallos mengakui ibunya, 87 tahun, dan orang lain yang dekat dengannya telah diberi vaksin dos pertama yang diterima di Ecuador.

Kemudian terbongkarlah bahawa ahli politik, ahli akademik, wartawan dan pegawai sukan yang telah diberi vaksin, pada saat suntikan hanya diberikan kepada pekerja kesihatan barisan depan dan rumah jagaan warga tua ketika negara itu berusaha mengadakan program imunisasi.

Setakat ini, hanya 119,000 orang mendapat dos pertama Pfizer, di negara yang mencatatkan 307,000 jangkitan dan 16,333 kematian.

Ecuador bukanlah satu-satunya negara di rantau ini yang terlibat dalam skandal potong barisan vaksinasi.

Peru dan Argentina juga dilanda kemarahan kerana orang kaya dan berkuasa mendapatkan suntikan coronavirus lebih awal daripada kumpulan rentan. – AFP, 20 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen