Lebih 400 juta suntikan vaksin sudah diberi di seluruh dunia


Sebanyak 100 juta orang menerima suntikan vaksin dalam tempoh 11 hari, enam kali lebih pantas berbanding ketika vaksinasi 100 juta yang pertama. – Gambar EPA, 19 Mac, 2021.

LEBIH 400 juta dos vaksin sudah diberikan di seluruh dunia setakat semalam, menurut data AFP.

Walaupun suntikan vaksin AstraZeneca di beberapa negara ditangguhkan, kempen vaksinasi terhadap Covid-19 terus meningkat, berdasarkan sumber rasmi diperoleh.

Sebanyak 100 juta orang menerima suntikan vaksin dalam tempoh 11 hari - enam kali lebih pantas berbanding ketika vaksinasi 100 juta yang pertama.

Pada Khamis jam 1630 GMT, sekurang-kurangnya 402.3 juta dos sudah diberikan di lebih 158 negara di seluruh dunia.

Israel masih mendahului setakat ini dengan hampir tiga daripada lima penduduknya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Kira-kira separuh rakyat Israel sudah menerima dos kedua.

United Kingdom (38%), Emiriah Arab Bersatu (antara 35 hingga 70%), Chile (28%), Amerika Syarikat (22%), Bahrain (22%) dan Serbia (16% pada 12 Mac) juga berjalan dengan baik.

Dari segi bilangan sebenar, AS mendahului dengan 113 juta suntikan diberikan sebelum China dengan 65 juta (setakat 14 Mac), India (39 juta) dan UK (27.6 juta).

Negara Kesatuan Eropah sudah memberikan 54.4 juta dos kepada 8.5% populasi blok tersebut.

Dari 13 negara termiskin yang memulakan kempen vaksinasi mereka, sembilan bermula pada awal Mac menggunakan vaksin yang diberikan secara percuma di bawah skim Covax yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Hanya 0.1% dos yang disuntik di seluruh dunia diberikan di negara miskin ini, sementara negara kaya lain memperoleh 58% dos.

Lebih daripada satu perempat daripada semua dos yang diberikan setakat ini (28%) terdapat di AS.

AstraZeneca mendahului

Vaksin yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Oxford University sudah diberikan kepada kira-kira 100 negara atau wilayah, melebihi pesaingnya.

Walaupun murah, ia digunakan secara meluas di negara kaya seperti UK dan EU serta di beberapa negara miskin, melalui skim Covax.

Ia juga diedarkan di India, lokasi ia dihasilkan.

Bagaimanapun, vaksin Sweden-Britain ini mengalami masalah, selepas pembekuan darah didapati berlaku kepada sejumlah individu yang divaksinasi. 

Tetapi EU berkata pada Khamis ia tiada kaitan dengan peningkatan risiko pembekuan darah.

Vaksin yang keluaran AS-German Pfizer/BioNTech - yang digunakan di lebih 70 negara - dan vaksin Moderna, yang digunakan di lebih 40, lebih mahal dan sukar disimpan. Ia kebanyakannya digunakan di negara kaya.

Vaksin Sputnik V Rusia, digunakan di lebih 20 negara, dan Sinopharm dan Sinovac dari China - digunakan di lebih 20 negara - banyak digunakan di pasaran tempatan serta negara membangun.

Vaksin Amerika keluaran Johnson & Johnson, yang pertama memerlukan hanya satu dos, diluluskan di AS, Kanada dan EU tetapi setakat ini hanya digunakan di AS dan Afrika Selatan. – AFP, 19 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen