Bukan salah Anwar wakil rakyat lompat parti, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Penganalisis percaya Anwar Ibrahim masih menjadi tunggak dalam Pakatan Harapan.– Gambar EPA, 19 Mac, 2021.

ANWAR Ibrahim tidak harus dipersalahkan atas tindakan ahli Parlimen PKR dan komponen Pakatan Harapan meninggalkan parti kerana beliau bukan punca masalah, kata penganalisis.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali percaya tindakan kumpulan ahli Parlimen itu atas sebab kepentingan dan kepercayaan politik peribadi mereka sendiri.

Selain itu beliau juga percaya ahli Parlimen berkenaan cenderung menyokong bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang kini menjadi menteri kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Bagi saya asasnya kepada lompat parti ini kerana survival, nak jadi pembangkang kena bertahan, kewangan kena kukuh.

“Pada saya mereka sokong PN (Perikatan Nasional) kerana disebabkan kepercayaan politik dan pegangan politik, bukan kerana faktor lain.

“Mereka menyokong Azmin dan tidak gemar kepada Anwar. Orang yang sokong Azmin (kebiasaannya) mereka yang tolak kepimpinan Anwar,” kata Mazlan.

Beliau juga berpendapat, pemimpin berkenaan keluar parti kerana melihat kerjaya politik mereka tiada lagi masa depan sekiranya terus kekal dalam PKR.

“Soal kepercayaan politik, ini akan selesai lepas Parlimen dibubar, kerana mereka yang terima kepimpinan Anwar akan dikekalkan (calon pilihan raya, manakala) mereka yang pro-Azmin mungkin tak dicalonkan lagi.

“Mereka lompat parti mungkin kerana mereka merasakan tidak lagi menyerlah dalam PKR,” katanya.

Tiga lagi ahli Parlimen PKR umum keluar parti sejak bulan lalu untuk menyokong kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2021.

Pada masa sama, beliau berpendapat kedudukan Anwar tetap kukuh dalam Pakatan Harapan (PH) dan perpisahan ahli Parlimen tersebut tidak menunjukkan kelemahan presiden PKR tersebut.

“Setakat ini tak nampak Anwar individu yang ditolak sepenuhnya dalam PH (Pakatan Harapan), Anwar masih tunggak dalam PH, faktor Anwar masih kuat.

“Anwar pemimpin yang ada karisma dan besar pengaruhnya, walaupun mungkin ada sisi beliau yang tidak digemari, umumnya ramai yang masih mengikuti Anwar,” kata Mazlan.

Tambahnya, Anwar tetap berdaya menarik pengaruh walau kerjaya politiknya berdepan pelbagai rintangan.

“Anwar gaya politiknya kreatif dalam mencipta gelombang. Beliau boleh sebabkan wajahnya sentiasa segar dalam politik.

“Walau sudah jatuh, kalah, dan dipenjara, Anwar masih berjaya membina momentum dan pengikut,” kata Mazlan lagi.

Tiga lagi ahli Parlimen PKR mengumumkan keluar parti sejak bulan lalu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Terbaru Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar yang mengumumkan keluar PKR, menyusuli Larry Sng Wei Shien (Julau) dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau).

Penyertaan tiga ahli Parlimen dari PKR itu disambut mesra 11 ahli Parlimen bersama Azmin yang sudahpun keluar parti lebih awal sewaktu Langkah Sheraton pada tahun lalu.

Kumpulan ahli Parlimen terbabit mendakwa tindakan itu mengkritik kepimpinan Anwar yang dakwa mereka memecah-belahkan PKR.

Perkembangan itu berlaku selepas kerajaan Muhyiddin didakwa hilang majoriti ekoran tindakan dua ahli Parlimen Umno mengumumkan tidak lagi menyokong PN.

Selain Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) itu, kalangan ahli Parlimen lain dalam Umno mahu sokongan ke atas Muhyiddin dibuktikan di Parlimen.

Kalangan pemimpin PKR juga menolak andaian bahawa tindakan ahli Parlimen yang keluar parti itu berkait dengan kewibawaan dan kepemimpinan Anwar.

Antaranya, Ketua Penerangan PKR Perak Raja Azam Shah Raja Omar Ikram yang percaya tindakna itu berpunca daripada pertelingkahan dalaman.

“Permasalahan sekarang bukan kerana kredibiliti atau karisma Anwar sebagai perdana menteri.

“PKR ada pasukan yang kuat tapi ada pertelingkahan dalaman, bukan kerana kelemahan karisma Anwar tapi ini gerakan politik untuk gagalkan usaha Anwar menjadi perdana menteri,” katanya.

Menurutnya, 14 ahli Parlimen PKR itu jelas mengkhianati amanah pengundi yang mengundi mereka atas tiket PKR.

“Etika berpolitik nampaknya tidak diikuti dan kita optimis rakyat akan menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita percaya ahli-ahli Parlimen yang lompat ini kalau jadi calon pun mungkin rakyat tak percaya lagi. Rakyat dah celik, mereka nak pemimpin tegas dan berprinsip.

“Mungkin PN boleh jalankan pentadbiran sekarang, tapi pilihan raya umum akan datang kita yakin kita boleh kembali ke Putrajaya,” katanya.

Ketua Pemuda PKR Batu Pahat Mohammad Salmin Mohamad juga menepis dakwaan mengaitkan tindakan lompat parti dengan kelemahan Anwar.

Tambahnya, dakwaan itu sengaja dibuat-dibuat untuk menunjukan seolah-olah Anwar pemimpin yang gagal.

“Dakwaan yang kata kredibiliti Anwar tercalar adalah persepsi yang diciptakan bagi menunjukkan beliau gagal memimpin parti.

“Jika dilihat peringkat akar umbi, pertambahan ahli baru sedang giat berlaku, dan penambahan ranting semakin bertambah dari hari ke hari, adakah itu bererti Anwar hilang kredibiliti,” katanya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson semalam mendedahkan wakil rakyat parti itu ditawarkan imbuhan sebelum ditekan untuk dikenakan tindakan undang-undang jika menolak.

Beliau juga mendakwa, empat lagi ahli Parlimen PKR dipujuk untuk menyokong PN dan meninggalkan parti itu.

Beliau menyenaraikan nama M Karupaiya (Padang Serai), S. Kesavan (Sg Siput), Awang Husaini Sahari (Putatan) dan Michael Teo Yu Leong (Miri) yang didakwanya didampingi lawan.

Pendedahan Anwar itu dibuat selepas kenyataan ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail yang mendakwa beliau menerima tawaran rasuah untuk berpaling tadah. – 19 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen