Adham, Mohd Zuki terima suntikan dos kedua vaksin Covid-19


Hari ini merupakan hari ke-22 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sejak bermula pada 24 Februari lepas dan setakat semalam, sejumlah 367,000 sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2021.

MENTERI Kesihatan Dr Adham Baba dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali hari ini melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Turut menerima suntikan dos kedua itu di Klinik Kesihatan Presint 18 ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Mohd Shafiq Abdullah bersama tiga petugas barisan hadapan kementerian iaitu Tawfik Adnan yang bertugas sebagai pemandu, Farid Md Ithnin, Pembantu Kesihatan Awam di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan Yusniza M Yusof, jururawat di Klinik Kesihatan, Presint 11. 

Suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 21 hari kesemua mereka menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada 25 Februari lepas.

“Kesemua yang menerima suntikan hari ini telah melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19 dan menerima ‘My Covid-19 Vaccination badge’ selain sijil digital menerusi aplikasi MySejahtera,” menurut hantaran di laman sosial Facebook KKM hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yasin menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19  Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Presint 18 bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas barisan hadapan KKM.

Hari ini merupakan hari ke-22 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sejak bermula pada 24 Februari lepas dan setakat semalam, sejumlah 367,000 sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. – Bernama, 18 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen