Tidak patuh SOP di tempat kerja punca kluster Ladang Bukit


Kluster Ladang Bukit didaftarkan pada 12 Mac lalu dengan 96 individu disahkan positif Covid-19 dan 1,023 kontak rapat berjaya dikesan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2021.

KLUSTER Ladang Bukit yang menjadi kluster baharu kes Covid-19 di Terengganu berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, kata Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus.

Katanya, sejak kluster itu didaftarkan pada 12 Mac lalu, seramai 96 individu disahkan positif Covid-19 dan 1,023 kontak rapat berjaya dikesan melibatkan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu.

Menurutnya, kluster Ladang Bukit melibatkan jangkitan di tempat kerja di Kerteh dengan 49 daripada 161 pekerja dikesan positif Covid-19 secara serentak.

“Untuk kluster ini seramai lima murid dan seorang guru dari enam sekolah rendah turut dijangkiti,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata penularan Covid-19 boleh dicegah sekiranya orang ramai mematuhi SOP di tempat kerja bagi mengelak kluster seperti Ladang Bukit.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin secepat mungkin. – Bernama, 18 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen