IRAQ mencatatkan rekod 5,663 kes baharu koronavirus pada Rabu, kata pegawai kesihatan, hampir dua minggu sejak lawatan Pope Francis ke negara itu.
Jumlah warga Iraq yang dijangkiti sejak pandemik Covid-19 bermula kini lebih 768,000 termasuk 13,827 kematian, dengan 33 daripadanya dalam tempoh 24 jam terakhir, menurut angka kementerian kesihatan pada Rabu.
Pegawai kesihatan melakukan kira-kira 40,000 ujian setiap hari, di negara yang mempunyai populasi 40 juta orang.
Meskipun meningkat, kerajaan berkata pihaknya melonggarkan sekatan yang bertujuan untuk mengekang penularan koronavirus, termasuk menarik balik sebahagian perintah berkurung pada waktu malam.
Seperti biasa di Iraq, hanya sebilangan kecil yang memakai pelitup muka - dan pengenalan denda baru-baru ini sedikit sebanyak membawa perubahan.
Jumlah kes di Iraq tidak menentu sejak beberapa bulan, kemuncak pada September sekitar 5,000 kes baru sehari, turun kepada kira-kira 800 kes sehari pada Disember, kemudian meningkat pada akhir Februari menjadi lebih 4,000.
Iraq mengalami kekurangan ubat-ubatan dan rawatan perubatan yang kronik, dan pesakit sering kali memilih mendapatkan tangki oksigen untuk mendapatkan rawatan di rumah, berbanding pergi ke hospital yang sesak.
Baghdad hanya menerima 50,000 vaksin Sinofarm dari China.
Walaupun kerajaan mempunyai rancangan untuk membeli 16 juta dos, Parlimen masih belum mengundi belanjawan 2021. – AFP, 18 Mac, 2021.
Komen