Sepanyol siasat kematian pesakit selepas terima suntikan AstraZeneca


Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Rabu mengesyorkan negara terus menggunakan vaksin AstraZeneca. – Gambar EPA, 18 Mac, 2021.

TIGA kes yang menderita trombosis selepas menerima vaksin AstraZeneca, dengan seorang daripadanya meninggal dunia, sedang disiasat, kata pegawai kesihatan Sepanyol pada Rabu.

Pengumuman oleh agensi ubat-ubatan AEMPS Madrid dibuat dua hari selepas kerajaan menangguhkan penggunaan vaksin sekurang-kurangnya dua minggu sebagai langkah berjaga-jaga.

Ketiga-tiga kes itu berlaku antara petang Isnin hingga pagi Selasa.

“Ini mungkin berkaitan dengan vaksin atau tidak,” kata Menteri Kesihatan Carolina Darias pada sidang akhbar.

“Apa yang kita ketahui setakat ini adalah tiga kes ini ada kaitan temporal tetapi belum terbukti ada hubung kait sebab-akibat.”

Menteri itu menegaskan Sepanyol setakat ini hanya mencatat tiga kes trombosis daripada 975,661 orang yang menerima vaksin AstraZeneca.

Akhbar melaporkan mangsa yang meninggal dunia itu adalah seorang guru matematik berusia 43 tahun di bandar Marbella di selatan tanpa sebarang sejarah masalah kesihatan.

Beliau mengalami pendarahan serebrum dan mengadu sakit kepala selepas menerima suntikan tetapi doktor mengaitkannya dengan kesan sampingan yang biasa berkaitan dengan vaksin, lapor akhbar Diario Sur.

Keputusan pada Isnin untuk menangguhkan semua suntikan AstraZeneca dibuat beberapa jam selepas Jerman, Perancis dan Itali mengumumkan tindakan serupa susulan kebimbangan vaksin tersebut memberi kesan sampingan serius seperti pembekuan darah yang boleh menyebabkan pembengkakan, serangan jantung dan pendarahan.

Dalam satu kenyataan, AEMPS berkata ketiga-tiga kes itu mungkin berkaitan dengan “pembentukan gumpalan darah di kawasan tubuh yang tidak biasa” tanpa membuat kesimpulan yang pasti.

Penyiasat sedang mengumpulkan lebih banyak maklumat dan melakukan penyelidikan yang menyeluruh.

Sepanyol, yang juga menggunakan vaksin Pfizer / BioNtech dan Moderna, setakat ini mencatatkan lebih 72,500 kematian koronavirus daripada lebih 3.2 juta kes.

Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Rabu mengesyorkan negara terus menggunakan vaksin AstraZeneca.

Ia mengulangi kenyataan serupa daripada Badan Perubatan Eropah yang berkata tiada kaitan dengan pembekuan darah.

EMA mengadakan mesyuarat pada Khamis untuk memuktamadkan kesimpulan mengenai masalah pembekuan darah dan “membuat cadangan yang diperlukan untuk tindakan selanjutnya”. – AFP, 18 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen