Pegawai AMMB perlu pikul tanggungjawab penglibatan dengan 1MDB, kata pemantau


Ragananthini Vethasalam

AMMB bersetuju membayar RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2021.

PENYELESAIAN AMMB Holdings Bhd sebanyak RM2.83 bilion dengan kerajaan berhubung tuntutan tertunggak berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mempengaruhi nilai saham dimiliki oleh pemegang saham minoriti, kata kumpulan pemantau korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif Minority Shareholders Watch Group (MSWG) Devanesan Evanson juga berkata eksekutif bank yang menyebabkan penyelesaian itu juga harus dipertanggungjawabkan.

Beliau mencadangkan agar sebahagian daripada penyelesaian diperoleh daripada mereka jika didapati bersalah.

“Bagi pemegang saham minoriti, penyelesaian ini mempengaruhi nilai saham mereka dari segi harga saham dan aliran dividen masa depan,” kata Devanesan kepada The Malaysian Insight.

“Itulah sebabnya, MSWG berasa mereka yang menyebabkan penyelesaian berlaku, sama ada pengarah atau pengurusan, harus dipertanggungjawabkan; mesti ada tanggungjawab,”tambahnya.

Kementerian Kewangan berkata dalam kenyataan bertarikh 26 Februari yang mengumumkan penyelesaian bahawa kumpulan perbankan akan membayar jumlah tersebut untuk menyelesaikan semua tuntutan tertunggak dan tindakan berkaitan penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Ambank Group akan membayar penyelesaian tersebut selain denda RM53.7 juta yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia.

Devanesan berkata hukuman dan penyelesaian kewangan yang dikenakan terhadap bank hanya akan merugikan para pemegang saham - satu-satunya kesilapan adalah kerana memilih pengarah yang salah.

“Mengikut undang-undang, syarikat boleh memfailkan saman dan disaman; penalti dan denda boleh dikenakan terhadap syarikat,” tambahnya.

Beliau berkata AMMB menegaskan ia berhak mengambil tindakan terhadap mereka yang perbuatan, atau kelalaian, yang menyumbang kepada penyelesaian tersebut.

Mengenai penyelesaian itu sendiri, Devanesan berkata ia perlu dipersetuju selepas kedua-dua pihak diberi nasihat oleh profesional seperti peguam.

“Pergi ke mahkamah terbuka akan memakan masa dan wang dan nilai francais AMMB akan terjejas. Kes mahkamah yang berlarutan juga akan mengalih perhatian pihak pengurusan untuk menguruskan bank dengan menguntungkan,” katanya.

“Berdasarkan kebijaksanaan mereka, lembaga AMMB mungkin berpendapat lebih baik menyelesaikan jumlah itu, melupakannya dan terus melangkah ke depan.

“Mereka mungkin tidak menyukai idea terlibat dalam masalah dengan kerajaan,” tambahnya.

Susulan berita penyelesaian, harga saham AMMB turun sebanyak 11.39% - dari RM3.16 pada 26 Februari kepada RM2.80 pada 3 Mac sebelum naik semula.

Seminggu selepas penyelesaian dengan AMMB, Kementerian Kewangan mengumumkan ia  mencapai penyelesaian di luar mahkamah berjumlah RM324 juta dengan Deloitte PLT untuk menyelesaikan semua tuntutan berkaitan peranan firma sebagai juruaudit akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Ini susulan penyelesaian bank pelaburan AS Goldman Sachs sebanyak RM15.8 bilion dengan kerajaan Malaysia pada Julai mengenai peranan Wall Street dengan skandal 1MDB.

Penyelesaian tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendapatkan kembali dana dan aset daripada pelbagai pihak yang secara langsung atau tidak berkaitan dengan dana pelaburan itu. – 18 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen