JABATAN Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan satu lagi kluster baharu Covid-19 di daerah Miri iaitu Kluster Jalan Merpati.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan kluster berkenaan merupakan kluster tempat kerja yang dikesan di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Merpati, bandar raya Miri.
“Setakat hari ini, Kluster Jalan Merpati hanya melibatkan daerah Miri, kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-11,094 merupakan seorang perempuan warga tempatan berumur 45 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Hospital Miri pada 7 Mac.
“Hasil siasatan lanjut dan aktiviti saringan kepada semua kontak rapat tempat kerja dan ahli keluarga kepada kes indeks ini, seramai 50 orang kes tambahan telah dikesan positif Covid-19,” menurut kenyataan itu.
Daripada 310 individu yang telah disaring, 51 kes telah dikesan positif Covid-19 manakala 193 individu telah didapati negatif dan 66 individu masih menunggu keputusan.
Hari ini Sarawak merekodkan 225 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 13,110. – Bernama, 17 Mac, 2021.
Komen