KERAJAAN meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diperkenalkan hari ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan sebanyak RM20 juta akan ditambah dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan.
“Ini dijangka memanfaatkan 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil,” katanya ketika mengumumkan Pemerkasa yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial pada Rabu.
Selain itu, katanya Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat turut diperluaskan kepada koperasi.
Perdana menteri berkata inisiatif ini adalah bagi mengembangkan aktiviti perniagaan syarikat melalui program digital. – Bernama, 17 Mac, 2021.
Komen