PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan tidak perlu lagi dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ketika ini.
Perdana Menteri berkata strategi kawalan penularan Covid-19 negara akan dilaksanakan secara lebih bersasar bersandarkan sains dan data bagi mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.
“Kawalan pergerakan hanya akan dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja,” katanya dalam pengumuman khas mengenai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion melalui siaran televisyen, hari ini.
Perkara ini merupakan antara 20 inisiatif strategik di bawah Pemerkasa dan terletak di bawah fokus pertama program berkenaan iaitu bagi mengawal penularan Covid-19.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan secara rasmi 24 Feb lepas dengan sasaran memberikan imunisasi percuma kepada kira-kira 80 peratus penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.
Mengenai program berkenaan, Muhyiddin berkata di bawah Pemerkasa kerajaan juga bersetuju menaikkan peruntukannya daripada RM3 bilion sebelum ini kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok Disember ini, berbanding sasaran awal, suku pertama tahun hadapan.
“Untuk mencapai sasaran ini, seramai 15,000 petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.
“Mengambil kira pertambahan tugas itu, kerajaan setuju Bantuan Khas Covid-19 dengan kadar RM200 sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan,” katanya dan menambah bahawa sehingga kini lebih 300,000 rakyat telah menerima suntikan pertama vaksin.
Sementara itu, selaras Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, perdana menteri berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan perundangan lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan Covid-19.
Ini termasuk dalam melindungi golongan pekerja yang menurutnya di bawah inisiatif ‘Safe@Work’, sebuah program baharu yang akan mula dibuka pendaftaran 1 April ini, kerajaan bersetuju memberi potongan cukai tambahan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja syarikat pengilangan dan perkhidmatan yang menyertainya.
Jelasnya, program bersifat sukarela di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu mempertanggungjawabkan majikan menyediakan tempat kerja dan penginapan kondusif para pekerja.
“Perbelanjaan yang layak untuk mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat berdaftar dengan MITI dan lulus audit pematuhan Safe@Work.
“Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program ini akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam ‘Safe work bubble’ sehingga kesemua pekerja disahkan selamat.
Selain itu, perdana menteri berkata majikan yang membuat ujian pengesanan Covid-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan Covid-19 bagi perbelanjaan dibuat sehingga 31 Dis ini.
Antara initiatif Pemerkasa ialah kenaikan peruntukan bagi program imunisasi kepada RM5 bilion daripada RM3 billion untuk mempercepat sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal pada suku pertama 2022.
Muhyiddin berkata kerajaan juga komited untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan melalui pelaksanaan segera projek pembangunan, penyediaan insentif penggajian serta pemberian insentif percukaian dan kemudahan pembiayaan mikro kredit.
“Kerajaan bersetuju menambah peruntukan projek berskala kecil tahun 2021 kepada RM5 bilion daripada RM2.5 bilion. Antara projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan seperti infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir,” katanya.
Selain itu, kemudahan mikro kredit juga akan disediakan, antaranya, melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) iaitu dana sebanyak RM300 juta akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga RM50,000, dengan kadar faedah dikurangkan kepada 3 peratus daripada 3.5 peratus.
Tekun Nasional pula akan memperkenalkan program Tekun POS-prenuer yang mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaraan barangan.
SME Corporation juga akan terlibat dan menyediakan RM50 juta untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga RM250,000 pada kadar faedah serendah tiga peratus, katanya.
Perdana Menteri juga mengumumkan inisiatif untuk merangsangkan semula sektor pelancongan dan peruncitan dengan pelbagai pengecualian cukai dan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan.
Beliau berkata, untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham, fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di Pasaran Utama, LEAP atau ACE.
Kerajaan juga meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk mengalakkan pelaburan dalam mekanisme dan automasi industri sawit.
“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus meneroka potensi eksport baharu, serta mengalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi dalam kalangan pemain indusri,” katanya.
Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima bagi bantuan secara one-off (sekali) sebanyak RM500 kepada golongan B40 yang hilang pendapatan.
“Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan kerajaan,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan semua golongan masyarakat dapat dibantu semasa tempoh yang sukar ini termasuk golongan gelandangan.
Oleh itu, inisiatif seperti pusat perlindungan sementara akan disediakan.
“Bantuan barangan dapur turun disediakan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta dan dijangka memanfaatkan 300,000 isi rumah miskin di bandar-bandar utama diseluruh negara,” katanya.
Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat kepada RM1,500 daripada RM1,200 sebulan.
Perdana Menteri berkata kerajaan telah berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.
Menurutnya, Pemerkasa adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.
“Kerajaan Perikatan Nasional sebagai Kerajaan yang Prihatin akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat,” katanya. – Bernama, 17 Mac, 2021.
Komen