Setahun selepas PKP, negara belum keluar situasi bahaya, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Pakar menganggarkan tempoh enam bulan diperlukan sebelum ada perlindungan sepenuhnya terhadap virus Covid-19 dapat dilihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2021.

SETAHUN sejak Malaysia pertama kali melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19, terdapat sinar harapan dengan vaksin yang tersedia, tetapi negara masih belum keluar sepenuhnya daripada bahaya, kata pakar kesihatan.

Sekurang-kurangnya dua perkara yang akan menentukan bagaimana negara mampu keluar daripada pandemik - varian virus baharu dan strategi pengurusan pandemik secara keseluruhan, kata pakar.

Ini kerana walaupun dengan vaksin, masih belum jelas berapa lama koronavirus dapat dibendung dan bagi imuniti kelompok wujud sepenuhnya di kalangan penduduk.

Presiden Persatuan Doktor Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata Malaysia kini hanya boleh dianggap berada dalam tahap mitigasi.

Beliau menganggarkan tempoh enam bulan diperlukan - selepas semua vaksinasi selesai - sebelum ada perlindungan sepenuhnya terhadap virus tersebut.

Profesor epidemiologi Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dari Universiti Malaya bersetuju yang Malaysia masih belum keluar daripada situasi bahaya tetapi menambah terdapat sedikit harapan, berbanding tahun lalu.

Pertama, pakar sains, kesihatan dan kerajaan semakin mengenali virus yang sedang mereka hadapi.

“Kita tahu lebih banyak mengenai Covid-19 berbanding apa yang kita tahu setahun lalu. Kita tahu lebih banyak mengenai bagaimana ia merebak, bagaimana mencegah penularan, rawatan mana yang mungkin terbukti berkesan untuk kes yang teruk, dan ujian diagnostik baharu yang lebih cepat kini tersedia,” katanya.

“Kita telah lihat kepantasan luar biasa para saintis untuk menghasilkan vaksin menggunakan teknologi baharu dan sejumlah vaksin diluluskan untuk digunakan di Malaysia dan negara lain,” tambah Awang Bulgiba.

Beliau bersetuju ia akan memakan masa sebelum kesan vaksinasi dapat dilihat.

“Masih sukar untuk meramalkan berapa lama wabak akan bertahan kerana vaksin hanya menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya.

“Ada juga beberapa pertimbangan lain yang cenderung mempengaruhi vaksinasi seperti bekalan, keraguan terhadap vaksin dan mutasi virus.

“Kita harap ini tidak akan mempengaruhi perjalanan program vaksinasi dan akan diselesaikan tepat pada waktunya,” tambahnya.

Varian baharu

Mengenai keberkesanan vaksin dan strain virus baharu, Awang Bulgiba berkata vaksin tidak akan sepenuhnya menghilangkan risiko jangkitan semula pada pesakit yang pernah dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, ia dapat mengurangkan risiko jangkitan semula jika antibodi peneutralan yang dirangsang oleh vaksin berfungsi walaupun hanya sebahagiannya terhadap varian yang lebih baharu.

“Sudah banyak kajian dilakukan untuk menentukan apakah vaksin yang diluluskan ketika ini melindungi daripada varian lebih baharu.

“Setakat ini, vaksin yang diluluskan nampaknya berfungsi melawan B.1.1.7 dari UK tetapi ada kebimbangan mengenai varian lain seperti 501Y.V2 (juga dikenali sebagai keturunan B.1.351) dari Afrika Selatan, P.1 dan P.2 dari Brazil dan L452R dari Denmark.

“Lebih banyak penyelidikan mengenainya diperlukan. Sudah ada perbincangan mengenai perlunya dos ketiga vaksin jika varian lebih baharu terbukti kebal terhadap vaksin yang ada sekarang,” katanya. – 17 Mac, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen