SEKATAN perjalanan termasuk larangan rentas negeri bagi membendung penularan pandemik Covid-19 menjejaskan pengusaha perkhidmatan hotel haiwan peliharaan, dengan beberapa orang antara mereka mengaku menunggu masa untuk gulung tikar.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight mereka kini mengalihkan tumpuan perniagaan kepada jualan makanan dan aksesori haiwan peliharaan, selain mula menawarkan perkhidmatan salon penjagaan kebersihan dan mendandan haiwan.
Pemilik Pawprint Cats Hotel & Salon Nurynsorsena, 29, mendedahkan pendapatan perniagaannya berkurang sebanyak 50% selepas tiada lagi pelanggan menghantar haiwan peliharaan untuk bermalam setelah kerajaan mengenakan sekatan pergerakan.
“Memang terkesan juga sebab biasanya pelanggan akan hantar haiwan peliharaan bila mereka pergi outstation atau balik kampung
“Sejak larangan pergerakan, kita fokus pada salon penjagaan kecantikan… kalau ikutkan dalam 50 peratus juga pendapatan berkurang,” katanya.
Nurynsorsena menjelaskan beliau pun sebenarnya mengambil perniagaan itu daripada pemilik asal yang angkat tangan kerana tidak lagi tahan menanggung rugi akibat PKP yang pertama setahun yang lalu.
“Kita mula balik operasi dan cuba fokus pada salon kecantikan penjagaan haiwan peliharaan.
“Masa selepas PKP dan ada tempoh yang dibenarkan rentas negeri perniagaan boleh jalan tapi sebenarnya kesan masih ada sebab kalau naik pun dalam 20 peratus,” katanya.
Seorang lagi pemilik kedai haiwan peliharaan Nadira Abd Samad, 34, berkata perniagaannya sangat terjejas kerana larangan pergerakan memaksanya menutup kedai pada Oktober lepas setelah tujuh tahun operasi.
Nadira kini menukar operasi kedainya kepada perniagaan dalam talian dengan menjual makanan, aksesori, selain menawarkan khidmat salon kecantikan dan penjagaan kucing.
“Kalau dulu musim perayaan atau cuti, perkhidmatan hotel memang antara margin untung yang paling tinggi.
“Untuk perniagaan dalam talian sebenarnya agak beza sikit sebab kita akan kenakan caj penghantaran dan tak semua pelanggan mahu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemilik perniagaan haiwan peliharaan Muhammad Habibul Anbia, 31, juga mengakui pelaksanaan PKP yang tidak membenarkan pergerakan rentas negeri memberi kesan kepada perniagaannya, yang banyak bergantung pada khidmat hotel.
“Memang perniagaan betul- betul terjejas sebab kita perniagaan kita yang utama ialah khidmat hotel untuk haiwan peliharaan.
“Sekarang PKPB, dah boleh rentas daerah, ada pelanggan hantar haiwan peliharaan mereka tapi masih tak banyak,” katanya yang sudah lima tahun membuka kedai haiwan peliharaan.
Jelas Muhammad, keadaan ini memaksa beliau mencari alternatif lain dengan menawarkan khidmat menjual makanan, aksesori dan penjagaan dan kecantikan kucing dari rumah ke rumah tanpa sebarang caj.
“Saya buat khidmat dari pintu ke pintu tanpa sebarang caj. Bagi saya itu saja yang saya dapat buat untuk selamatkan perniagaan.
“Kita terpaksa bekerja macam hantar makanan mengikut linkungan jarak dibenarkan.
“Saya juga sampai pernah buat dapat produk dari kedai haiwan peliharaan lain untuk penuhi permintaan pelanggan. Itu antara usaha yang saya terpaksa lakukan,” katanya.
Semalam, Putrajaya mengumumkan PKPB di Selangor dan Kuala Lumpur serta empat negeri lain iaitu Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak dilanjutkan sehingga 31 Mac ini. Pada masa sama, pergerakan rentas masih tidak lagi dibenarkan sama sekali. – 17 Mac, 2021.
Komen