3 kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak


Tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 16 Mac, 2021.

JABATAN Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan tiga lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Nanga Bulo di Julau, Kluster Kampung Hilir dan Kluster Jalan Sanyan di Sibu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan Kluster Nanga Bulo merupakan kluster komuniti yang telah dikesan melibatkan tiga rumah panjang di Nangga Bulo, Entabai di dalam daerah Julau.

“Kluster Kampung Hilir, Sibu merupakan kluster komuniti yang telah dikesan di sebuah penempatan perkampungan di Jalan Kampung Hilir di dalam daerah Sibu.

“KlusterJalan Sanyan, Sibu pula merupakan kluster tempat kerja yang telah dikesan melibatkan sebuah pasar raya di Jalan Sanyan, pusat Bandar Sibu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, satu kluster telah diisytihar tamat iaitu Kluster Mas Merah di Sibu selepas 28 hari tidak merekodkan kes baharu.

Kenyataan itu menyebut Sarawak hari ini merekodkan tiga lagi kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah korban akibat jangkitan tersebut meningkat kepada 94 orang manakala sebanyak 183 jangkitan baharu dikesan, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 12,885 kes.

Menurut JPBN, kematian ke-92 itu merupakan kes ke-7,674 melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 72 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana bergejala.

Kenyataan itu memaklumkan ujian saringan Rapid Molecular yang dibuat pada 19 Februari adalah positif, keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 15 Mac selain individu terbabit mempunyai komorbiditi iaitu penyakit darah tinggi dan penyakit jantung.

“Kematian ke-93 merupakan kes ke-11,319 melibatkan seorang lelaki tempatan yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu apabila ujian saringan rt-PCR Covid-19 adalah positif pada 8 Mac, keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 15 Mac dengan komorbiditi iaitu penyakit jantung, darah tinggi dan penyakit paru-paru obstruktif kronik.

“Kematian ke-94 merupakan kes ke-9,492 melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam, batuk dan kurang selera makan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPBN, ujian saringan rt-PCR mangsa adalah positif pada 27 Februari dan keadaan kesihatan kes didapati merosot serta disahkan meninggal dunia pada 15 Mac dengan kes mempunyai komorbiditi iaitu penyakit darah tinggi dan kencing manis. – Bernama, 16 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen