Tanya Muhyiddin – masih ada majoriti atau tidak, kata Anwar


Anwar mendakwa kerajaan Perikatan memperalatkan agensi penguatkuasaan polis, SPRM dan LHDN untuk mengugut wakil rakyat bagi mendapatkan sokongan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Mac, 2021.

ANWAR Ibrahim berkata sokongan yang ada padanya sebagai ketua pembangkang bukan isu berbanding persoalan yang lebih besar iaitu apakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih ada sokongan majoriti untuk kekal menerajui kerajaan.

Pengerusi Pakatan Harapan berkata keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih penting untuk dipersoalkan berbanding sama ada beliau ada sokongan untuk menjatuhkan kerajaan sekarang.

“Kenapa tidak tanya, berapa (sokongan) PN ada? Itu tidak penting? Kenapa dia (Muhyiddin) masih perintah walaupun dia tidak berani adakan sidang Parlimen?

“Kenapa sekolah dibuka tetapi Parlimen tidak boleh dibuka? Pasal apa dia tak pernah jawab sekali pun bahawa 115 ahli parlimen sudah menulis surat untuk menolak keputusan menggantung Parlimen?” kata Anwar dalam sidang media di Petaling Jaya, petang ini.

Jelas Anwar, mereka yang ada kesedaran dan faham akan demokrasi tidak akan boleh membenarkan keangkuhan kerajaan Perikatan berleluasa.

“Bagaimana boleh kita izinkan hal ini… dengan cara angkuh ugut orang, tekan orang, buat peraturan baru… cakap dengan megah, kami ada dukungan.

“Kalau berani, tanyalah perdana menteri. Tapi perdana menteri tak ada press conference, susahlah nak tanya,” tambahnya.

Anwar sebelum itu menjawab ringkas bahawa sokongan yang ada padanya masih “mencukupi”, biarpun selepas tiga ahli parlimen PKR keluar parti dan menyatakan sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin.

Anwar ditanya apakah sokongan padanya “kukuh dan meyakinkan” seperti yang pernah beliau umumkan pada pertengahan Oktober 2020.

Anwar sebelum itu menegaskan biarpun pihaknya hilang beberapa ahli parlimen, Muhyiddin tidaklah juga menambah sokongan untuk kerajaan.

“Dengan tarik tiga, empat, lima, enam orang ke PN, dia belum lagi mampu mendapat majoriti.

“Saudara buat perkiraan… menteri kanan yang pandai matematik boleh kira. Sekarang dia dapat tiga, dia dapat enam pun belum cukup dapat 110 kerusi.

“Ini saya pasti sebagai satu kenyataan yang jelas,” katanya.

Menurut Anwar, Muhyiddin sepatutnya menerima proses demokrasi selepas hilang majoriti dan kerajaan pimpinannya tidak lagi absah, dan bukannya “berlindung di sebalik badan-badan penguatkuasa.”

Anwar mendakwa kerajaan Perikatan memperalatkan agensi penguatkuasaan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengugut wakil rakyat bagi mendapatkan sokongan. 

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar enggan mengulas dakwaan bahawa beliau keluar dari PKR kerana ‘ditekan’ oleh SPRM. Agensi antirasuah sebelum ini menyiasat satu dakwaan rasuah dan penyelewengan yang dikaitkan dengan bekas menteri itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail membuat laporan SPRM mendakwa didatangi individu yang menawar janji manfaat sekiranya beliau memberi sokongan kepada Muhyiddin.

Menurut Anwar, beliau akan menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki esok untuk memohon satu pertemuan bagi menyatakan pendirian PH mengenai isu tekanan oleh kerajaan Perikatan. – 16 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen