UMNO masih belum mengubah dasarnya tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP, kata ketua penerangan parti Shahril Hamdan.
Keputusan Umno dalam perhimpunan agung parti pada 2019 mengenai perkara itu masih kekal dan belum diubah, katanya, di tengah spekulasi ada rundingan kerjasama politik antara PKR dan Umno sejak akhir-akhir ini.
“Keputusan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 masih terpakai dan kenyataan semua pemimpin tertinggi Umno berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP.
“Menolak kerjasama dengan Bersatu tak bermaksud mesti terus bersama dengan orang lain.
“Hakikatnya, Majlis Kerja Tertinggi belum pernah mengubah keputusan dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP,” katanya dalam satu tulisan di Facebook.
Shahril memberi reaksi kepada sidang media Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dijadual diadakan pada petang ini, yang dijangka akan menyentuh soal kerjasama PKR dan Umno.
Anwar dalam wawancara yang disiar di Mingguan Malaysia pada Ahad lalu mengesahkan ada perbincangan tidak rasmi antara pemimpin PKR dan Umno.
“ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan?
“Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham (Umno) dan mereka lebih faham kita,” katanya.
Itu hak Anwar bercakap
Menurut Shahril, Anwar berhak untuk bercakap apa saja tetapi Umno tidak perlu melatah sebaliknya harus fokus pada usaha menguatkan parti.
“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno, itu adalah hak beliau untuk bercakap sepertimana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.
“Kita (Umno) tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, di samping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat,” katanya.
Shahril mengingatkan kekuatan Umno ialah pada rakyat yang mendukungnya, dan tanpa sokongan rakyat, Umno tidak akan mencapai kedudukan yang kuat untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
Majlis Kerja Tertinggi Umno pada bulan lepas membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pilihan raya umum akan datang.
Umno juga menegaskan sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin hanya setakat mandat Parlimen sekarang. – 16 Mac, 2021.
Komen