Bolsonaro tukar menteri kesihatan lagi ketika kes Covid-19 di Brazil terus melonjak,


Marcelo Queiroga akan menggantikan Eduardo Pazuello sebagai menteri kesihatan Brazil yang baharu. – Gambar EPA, 16 Mac, 2021.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro mengumumkan pada Isnin akan melantik pakar kardiologi Marcelo Queiroga sebagai menteri kesihatan, yang keempat memegang jawatan itu sepanjang wabak melanda, ketika sistem kesihatan negara itu terus goyah dengan lonjakan kes Covid-19.

“Sudah diputuskan lantikan doktor Marcelo Queiroga ke Kementerian Kesihatan,” kata Bolsonaro dalam pertemuan singkat dengan para penyokongnya di istana presiden Alvorada. Proses peralihan “akan berlangsung dalam tempoh satu atau dua minggu,” tambahnya.

Pelantikan itu akan dimuktamadkan pada Selasa.

Bolsonaro membuat pengumuman itu selepas bertemu dengan Queiroga, dan beberapa jam selepas Menteri Kesihatan Eduardo Pazuello berkata pada sidang media yang presiden akan menggantikannya untuk “menyusun semula” kementerian itu.

“Perbualan (dengan Queiroga) sangat bagus,” kata Bolsonaro. “Beliau memiliki segalanya pada pandangan saya untuk melakukan tugas dengan baik, memberikan kesinambungan dalam semua yang dilakukan Pazuello hingga hari ini.”

Pelantikan Queiroga, presiden Persatuan Kardiologi Brazil (SBC), dilakukan ketika kerajan Bolsonaro berdepan kritikan keras kerana kelam-kabut dalam menangani wabak koronavirus dan keengganan mengakui keparahan krisis.

“Mulai sekarang kita akan menuju fasa yang lebih agresif dalam memerangi virus,” kata Bolsonaro.

Sebelum meninggalkan pejabat, Pazuello mengumumkan kerajaan sudah membeli 100 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech, yang sepatutnya diterima pada September. 

Beliau juga berkata kira-kira 38 juta dos vaksin Johnson & Johnson akan tiba pada separuh kedua 2021.

Penyelesaian pembelian sangat penting untuk mempercepat kempen vaksinasi Brazil, memandangkan negara itu kini mengalami lonjakan kes dan kematian Covid-19 baharu sejak Februari.

Gelombang baru-baru ini menyebabkan kebanyakan hospital di negara Amerika Selatan itu di ambang kehancuran dan menyebabkan gabenor negeri melaksanakan lebih banyak sekatan untuk memperlahankan penularan virus. – AFP, 16 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen