Pemegang saham AmBank berhak persoal penyelesaian 1MDB, kata Nur Jazlan


Chan Kok Leong

Penggantungan sidang Parlimen menafikan hak pemegang saham minoriti AmBank mempersoal keputusan kerajaan dalam penyelesaian 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2021.

PEMEGANG saham minoriti AmBank terkilan kerana penyelesaian persetujuan dengan kerajaan bernilai RM2.83 bilion berkaitan pembabitan dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak dapat dipersoal di Dewan Rakyat, kata Nur Jazlan Mohamed.

Bekas ahli Parlimen Pulai itu memberitahu The Malaysian Insight, perkara itu tidak dapat dibahaskan melalui wakil rakyat mereka susulan sidang Parlimen digantung semasa tempoh darurat.

Nur Jazlan yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengulas persetujuan AMMB Holdings Bhd membayar RM2.83 bilion bagi semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan pembabitan Kumpulan AmBank dalam kes 1MDB.

“Pemegang saham minoriti sepatutnya mempersoalkan ketelusan perjanjian di mahkamah, tetapi Ordinan Darurat memberi kekebalan kepada pegawai kerajaan yang melakukan transaksi,” katanya.

Malah amalan menyumber luar rundingan juga mencetus persoalan mengenai ketelusan, tambah beliau.

“Tindakan Jabatan Peguam Negara membangkitkan persoalan mengenai ketelusan butiran serta pampasan kepada pihak ketiga.

“Pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian harus dipertanggungjawabkan untuk melindungi kepentingan pemegang saham minoriti AmBank khasnya dan rakyat amnya.”

Rakyat berhak tahu mengenai butiran lain dalam penyelesaian bernilai RM2.38 bilion itu, kata Nur Jazlan.

“Rakyat ada hak untuk tahu bagaimana perjanjian dibuat, bayaran kepada peguam yang terlibat dan mengapa kerajaan hanya memilih untuk menghukum bank berkenaan, bukan ahli lembaga pengarah, juruaudit (yang mengaudit 1MDB), penjawat awam dan lain-lain.

“Namun, persoalan ini hanya dapat dibahaskan di Parlimen,” jelasnya.

Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sepanjang tempoh darurat yang berkuatkuasa 11 Januari hingga 1 Ogos. Pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil juga tidak akan dilaksanakan bagi tempoh yang sama.

Istana Negara pada 24 Februari memaklumkan Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan bagaimanapun menegaskan Kabinet berkuasa menasihati Seri Paduka Baginda supaya tidak memanggil Parlimen bersidang. – 16 Mac, 2021.     

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen