SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan seorang tekong dan awak-awak bot nelayan warga Vietnam kerana dipercayai memberi suapan kepada anggota Pasukan Polis Marin (PPM).
Tekong dan awak-awak masing-masing berusia 38 dan 28 tahun itu ditahan kira-kira 10 pagi tadi di pejabat SPRM Cawangan Kluang.
Menurut sumber, penahanan dibuat selepas hasil siasatan mendapati kedua-duanya memberikan suapan berjumlah RM3,000 kepada anggota PPM Wilayah 2 Mersing.
Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap gamat di perairan Malaysia secara haram.
Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – Bernama, 15 Mac, 2021.
Komen