Kabinet akan bincang isu pengampunan kepada Pati, kata Khairy


Pendatang asing tanpa izin tidak perlu takut ditahan atau dihantar pulang jika mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2021.

KABINET akan membincangkan isu pengampunan kepada pendatang asing tanpa izin supaya golongan itu tidak takut untuk tampil mendapatkan vaksin Covid-19 dalam masa terdekat, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata perkara itu sudah dibincangkan bersama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Mereka cadangkan beberapa langkah untuk melaksanakan program ini (vaksin) terutamanya bagi pendatang asing tanpa izin,” katanya pada sidang media mingguan berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.

“Saya akan bincangkan isu ini dengan Menteri Dalam Negeri dalam masa terdekat, dan hasilnya akan diumumkan sebaik sahaja kami dapat persetujuan Kabinet sama ada akan beri pengampunan atau apakah ada strategi lain.”

Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan juga berkata libat urus bersama NGO tempatan.

“Saya beri jaminan bahawa secara prinsipnya pendatang asing tanpa izin tidak perlu takut ditahan atau dihantar pulang jika mendapatkan vaksin.”

Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan baru-baru ini menggesa Putrajaya memberi pengampunan kepada pendatang asing tanpa izin untuk menggalakkan mereka tampil mendapatkan vaksin. – 15 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen