Polis siasat dakwaan pasangan dikompaun RM10,000 ketika makan


Alfian Z.M. Tahir

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pasangan tersebut dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2021.

POLIS sudah merakam kenyataan pasangan yang melahirkan rasa tidak puas hati di media sosial selepas dikompaun RM10,000 ketika sedang makan Sabtu lalu, kata Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pasangan tersebut dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) untuk memberi keterangan semalam. 

“Mereka terkejut dan kecewa dengan tindakan pegawai penguatkuasa mengeluarkan kompaun dan mereka rasa ia  tidak adil.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kompaun bukan dikeluarkan polis, tetapi pegawai penguaktkuasa agensi lain.

“Kami sedang menyiasat kes ini dan dakwaan pasangan terbabit dirujuk kepada Kementerian Kesihatan. Kes ini akan disiasat lanjut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sabtu lalu, seorang lelaki menerusi catatan di Facebook mendakwa beliau dan teman wanitanya dikenakan kompaun semasa sedang makan di sebuah restoran.

Katanya, mereka masih memakai pelitup muka pada 11:14 pagi, kemudian membukanya apabila makanan dan minuman yang dipesan tiba dua minit kemudian.

Lelaki itu berkata pada 11:37 pagi, mereka tiba-tiba didatangi beberapa pegawai penguatkuasa, yang mengarahkan mereka mengeluarkan kad pengenalan sebelum dikompaun.

Pasangan itu tidak menyebut secara khusus pegawai penguat kuasa dari agensi mana yang mengeluarkan kompaun ataupun kesalahan mereka.

Mulai 11 Mac denda bagi invidu yang melanggar SOP Covid-19 dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000 di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat berkata individu yang didenda RM10,000 boleh membuat rayuan bagi kesalahan kecil dan bersyarat di Pejabat Kesihatan Daerah. – 15 Mac, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen