Khairy terima suntikan vaksin Sinovac Khamis ini


Ragananthini Vethasalam

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaludin berkata beliau akan menjadi rakyat Malaysia pertama diberi suntikan vaksin Sinovac dari China. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2021.

MALAYSIA akan mula memberikan vaksin Sinovac buatan China pada Khamis ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata bahawa beliau akan menjadi rakyat Malaysia pertama diberi suntikan vaksin berkenaan.

“Kita akan mula memberikan vaksin Sinovac di Hospital Rembau pada jam 1.30 tengah hari pada 18 Mac. Saya akan menjadi orang pertama yang menerima vaksin Sinovac,” katanya pada sidang media mingguan mengenai program vaksinasi. 

Malaysia akan menerima 100,000 dos vaksin Sinovac hari ini dan sebanyak 100,000 lagi dos pada 22 Mac depan.

Selain itu Malaysia juga akan mengambil 83,070 dos vaksin Pfizer-BioNTech lain hari ini.

Ini akan diikuti oleh 124,020 dos lain pada 22 Mac dan 12,190 pada 29 Mac.

Ini akan menyelesaikan penghantaran 1,000,350 dos vaksin Pfizer-BioNTech menjelang suku pertama tahun ini.

Sementara itu Khairy berkata vaksin akan diberikan secara bergantian dan bukannya menunggu kumpulan vaksin baharu tiba.

“Pfizer nampak efisien sehingga sekarang dalam hal penghantaran. Mereka sudah menghantar apabila mereka berjanji untuk menghantar. Itu memberi kami jaminan untuk terus bermula, itu bermakna kita tidak perlu menunggu dua dos untuk berada di sini untuk mula memberi dos kepada mereka yang belum menerima vaksin,” katanya. – 15 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen