PUSAT Khidmat Rakyat MP dan Adun DAP telah memperluaskan perkhidmatan mereka di seluruh negara bagi membantu mereka yang didenda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ramkarpal Singh.
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP itu berkata bahawa pusat khidmat mereka sudah menerima aduan daripada orang ramai mengenai kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di mana seseorang individu boleh dikompaun sehingga RM10,000.
“DAP akan memberi bantuan guaman kepada mereka yang dikenakan penalti di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 Ordinan Darurat 2021. Golongan B40 akan diberi keutamaan.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan di setiap negeri di mana mereka yang dikenakan penalti tersebut boleh menghubungi kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Kerajaan telah mengenakan kompaun sehingga RM10,000 untuk indivdu dan RM50,000 untuk syarikat yang melanggar peraturan PKP.
Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diterbeitkan di laman web Warta Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa pada 11 Mac.
Bagaimanapun Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang diberi kompaun RM10,000 boleh membuat rayuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah bagi mengurangkan jumlahnya.
Beliau berkata pegawai kesihatan akan menggunakan budi bicara mereka bagi menentukan jumlah yang perlu dibayar oleh pesalah.
Setiausaha Agung DAP telah mengutuk pelaksanaan denda RM10,000 untuk pelanggar berulang PKP.
Beliau berkata biro undang-undang DAP akan membantu mereka jika berada di mahkamah.
“Saya sudah meminta biro undang-undang DAP untuk membantu mempertahankan rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik,” katanya. – 15 Mac, 2021.
Komen