Tuduhan ugut, rasuah untuk sokongan Perikatan tidak berasas, kata bekas PKR 


Ravin Palanisamy

Muhammad Azmin Ali antara bekas pemimpin PKR yang menolak dakwaan bahawa kerajaan Perikatan merasuah dan mengugut ahli Parlimen pembangkang beralih sokongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2021.

DAKWAAN yang mengatakan Perikatan Nasional (PN) merasuah dan mengugut untuk meraih sokongan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PN) adalah tidak berasas, kata bekas pemimpin PKR yang telah menyertai Bersatu.

Mereka berkata dakwaan sedemikian mencemarkan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) dan polis, sekali gus menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang membuat tuduhan itu.

“Tuduhan ini menyerang integriti SPRM dan polis.

“Kami memandang serius tuduhan menghasut secara terang-terang ini yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan meminta tindakan undang-undang segera terhadap mereka.,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Sebaliknya mereka berkata ahli Parlimen yang meninggalkan parti lama telah membuat penilaian sendiri dan menyedari kerajaan PN mengambil tindakan bertanggungjawab bagi menangani pandemik Covid-19 dengan membantu rakyat dan menjana ekonomi.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah, Mohd Rashid Hasnon, Kamarudin Jaffar, Dr. Mansor Othman, Santhara Kumar, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin. 

Mereka berkata demikian selepas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan PN menggunakan umpan dan ugutan untuk memaksa ahli Parlimen pembangkang menukar sokongan.

“Kami sebulat suara mengalu-alukan anjakan politik yang dinamik dilakukan oleh YB Larry Sng (Julau), YB Steven Choong (Tebrau) dan YB Dato’ Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat). 

“Ini merupakan perkembangan progresif yang terbit dari keyakinan mereka terhadap pengendalian Kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemik Covid-19 dan langkah-langkah proaktif, tegas dan tepat untuk melaksanakan usaha mencerdaskan ekonomi dan memastikan pemulihan yang berterusan.

“Keputusan mereka untuk meninggalkan PKR juga didorong oleh rasa kecewa yang mendalam terhadap kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membawa amalan politik pecah-belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti itu ke jurang kehancuran,” katanya kenyataan itu.  – 14 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen