KES aktif Covid-19 di Malaysia menurun kepada 16,279 dengan negara hari ini melaporkan lebih banyak kes sembuh berbanding jangkitan baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia melaporkan 1,782 kes sembuh berbanding 1,354 kes baharu dalam 24 jam terakhir, menjadikan kes terkumpul di negara ini 323,763.
Malaysia kini melaporkan kurang daripada 2,000 kes harian selama lapan hari berturut-turut.
Noor Hisham berkata dari kes baharu, sebanyak 1,340 adalah jangkitan tempatan, sementara 14 kes import.
Untuk hari kedua berturut-turut, Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang masing-masing mendahului tiga tempat teratas dengan jumlah kes harian yang tinggi.
Selangor melaporkan 577 kes, diikuti Sarawak dengan 178 kes dan Pulau Pinang 154 kes.
Perlis satu-satunya negeri yang tidak mencatat sebarang kes baharu.
Tidak ada perubahan kedudukan bagi negeri-negeri pada keseluruhan kes dengan Selangor menduduki tangga teratas dengan 108,996 kes, diikuti Sabah (53,903) dan Johor (39,086).
Sehingga tengah hari ini, 158 pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 71 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak empat kematian dilaporkan hari ini, menjadikan angka kematian 1,210.
Keempat-empatnya adalah rakyat tempatan.
ua kematian dilaporkan di Kuala Lumpur manakala satu kematian masing-masing di Selangor dan Sarawak.
Semua empat mangsa merupakan lelaki yang sudah mempunyai masalah kesihatan.
Mangsa termuda, berumur 27 tahun, yang terkena jangkitan mempunyai leukemia, myelitis. – 14 Mac, 2021.

Komen