AUSTRALIA bekerjasama dengan Singapura untuk mewujudkan gelembung perjalanan antara kedua-dua negara seawal Julai sebagai usaha merancakkan semula aktiviti pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.
Pada awal pandemik itu, Australia menutup sempadan negaranya bagi mengekang penularan wabak itu dengan larangan dikenakan kepada warga asing memasuki negaranya kecuali dengan pengecualian.
Timbalan Perdana Menteri Michael McCormack berkata dengan kewujudan vaksin, sempadan akan dibuka dengan kaedah gelembung pelancongan.
Portal Sydney Morning Herald melaporkan perjanjian itu akan membolehkan rakyat Singapura dan Australia yang sudah mengambil vaksin untuk mengembara antara kedua-dua negara tanpa perlu dikuarantin.
Akhbar itu berkata Canberra juga berharap rakyat daripada negara ketiga seperti pelajar antarabangsa, ahli perniagaan dan rakyatnya yang mahu pulang, boleh menjalani kuarantin selama dua minggu di Singapura sebelum terbang ke Australia.
Namun Singapua yang sudah membuka sempadannya kepada negara tertentu, berkata pihaknya belum berbincang konsep kuarantin atau hab vaksinisasi.
“Singapura kini dalam perbincangan dengan Australia untuk mengiktiraf sijil vaksin dan membenarkan keutamaan diberikan kepada pelajar dan ahli perniagaan untuk mengembara,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.
“Kami juga berbincang tentang kemungkinan gelembung pelancongan yang membenarkan penduduk Singapura dan Australia bergerak antara kedua-dua negara tanpa perlu menjalani kuarantin.” – AFP, 14 Mac, 2021.
Komen