Kumpulah hak asasi tolak ordinan darurat berita palsu


Noel Achariam

Sekumpulan aktivis Kluster Kebebasan Bersuara mengangkat plakad sebagai tanda protes terhadap ordinan darurat berita palsu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain 14 Mac, 2021.

KUMPULAN hak asasi hari ini mengadakan bantahan di hadapan Parlimen bagi mempertahankan hak kebebasan bersuara susulan pelaksanaan ordinan darurat bagi menangani berita palsu.

Mereka berkata Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 yang dikuatkuasakan minggu lalu menyekat kebebasan bersuara.

Kluster Kebebasan Bersuara berkata bantahan itu dianjurkan kerana kerajaan mengganggu hak mereka dan mahu ruang demoktratik dikembalikan.

“Kami menggesa agar negara ini kembali ke pentadbiran yang baik dan boleh diharap.

“Kami menuntut ketelusan dan semak dan imbang kuasa. Kami menuntut kerajaan untuk menarik semula penggantungan Parlimen,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kluster Kebebasan Bersuara merupakan kumpulan hak asasi yang berjuang mempromosikan kebebasan bersuara di Malaysia.

Kluster itu dipengerusikan bersama oleh Pusat Kewartawanan Bebas dan Artikel 19 Malaysia.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata ordinan itu adalah remedi jangka pendek khusus bagi membendung penularan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat, demi ketenteraman dan kepentingan awam.
 
Beliau berkata ordinan itu hanya menumpukan berita palsu berkenaan Covid-10 dan darurat tanpa melibatkan unsur politik.

“Ordinan ini bertujuan mempercepatkan proses penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan manakala prosiding di mahkamah kekal seperti sedia ada.

“Ini hanya untuk waktu darurat sahaja… ia bukan selamanya,” katanya. – 14 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen