PAS akan tetap melawan Umno dan Barisan Nasional (BN), dan menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) kononnya mereka mahu Najib Razak kekal sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, kata Setiausaha Agong PAS, Takiyuddin Hassan.
Malah puji-pujian presiden Umno itu terhadap Presiden PAS, Hadi Awang dalam ucapan tahun baru Ahad lalu hanyalah bersifat peribadi dan tiada kaitan dengan parti.
“Kita tidak pernah kata nak kekalkan kerajaan Najib. Kita akan lawan dengan Umno dalam PRU ini.
“Pujian Najib (pada Hadi) bersifat individu, kita tak pernah minta dipuji dan diberi penghargaan.
“Jangan kerana kita tidak bersama dengan Pakatan Harapan, maknanya kita sokong Umno, tidak. Kalau kita hendak sokong BN kenapa kita hendak bekerja keras dan kita punya blok (gabungan) sendiri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Takiyuddin mengulas kenyataan Presiden Pakatan Harapan, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengganggap PAS cenderung menyokong BN dan masih mahukan Najib sebagai perdana menteri.
Wan Azizah merujuk kepada ucapan Najib yang memuji Hadi serta kenyataan Takiyuddin sebelum ini yang menolak cadangan PH melantik perdana menteri sementara yang disifatkannya tidak menepati Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Takiyuddin menegaskan PAS tidak pernah menghalang lantikan PM sekiranya PH memerintah kelak, sebaliknya hanya tidak bersetuju dengan cadangan mahu melantik PM sementara.
“Bagi saya kalau dia hendak lantik siapa pun dalam pimpinan Pakatan Harapan lantik sahajalah sebagai PM. Tetapi mana ada interim (sementara). Itu maksud saya tiada dalam Perlembagaan.
“Mana ada sementara atau tidak. Ini menunjukkkan bagi PAS jawatan PM jawatan yang penting. Bukan main-main. Sekejap-sekejap mana boleh,” katanya lagi.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga sebelum itu berkata PAS tidak serius menjadi pembangkang kerana tindak-tanduk pemimpinnya mendapat pujian perdana menteri.
“Perjuangan PAS kini sudah sesat. Sesat sampai dipuji oleh Umno,” kata Guan Eng.
“Jika Umno puji kamu sebagai sebuah parti politik pembangkang yang baik, kamu lingkup lah. Kamu parti pembangkang yang baik sebab kamu ikut cakap mereka, dan tidak ganggu atau mengancam kedudukan mereka,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu. – 2 Januari, 2018.
Komen