PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan di Batang Padang, Perak, yang dijadual tamat Isnin ini dilanjutkan hingga 29 Mac.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.
Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 2,660 ujian saringan dijalankan di kedua-dua lokaliti dengan 556 kes positif direkodkan.
“KKM (Kementerian Kesihatan) turut mengesahkan terdapat 562 lagi baki sampel saringan sedang menunggu keputusan serta masih berlaku penularan kes melibatkan tahanan di penjara itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata kerajaan turut bersetuju menamatkan PKPD yang dikenakan ke atas Asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai di Kinta, Perak seperti dijadual esok, selepas KKM mengesahkan tiada lagi kes positif direkodkan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata sehingga kini 619 ujian dijalankan di lokaliti itu dan daripada jumlah berkenaan, secara kumulatif sebanyak 389 kes positif COVID-19 dilaporkan.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata melalui Task Force Operasi Pematuhan semalam, seramai 223 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, manakala menerusi Operasi Benteng, 51 pendatang tanpa izin dan empat tekong ditahan serta lapan kenderaan darat dirampas.
Pada hari sama, katanya, 80 operasi sanitasi dilaksanakan melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan, menjadikan keseluruhan sebanyak 18,605 operasi sanitasi dilakukan sejak 30 Mac 2020.
Selain itu, beliau memaklumkan 1,428 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
Beliau turut memberi jaminan bekalan makanan negara dalam keadaan stabil dan mencukupi berdasarkan pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, semalam. – Bernama, 13 Mac, 2021.
Komen