PM perlu dikuarantin selepas pulang dari lawatan luar negara, kata bekas menteri


PERDANA Menteri Muhyiddin Yasin perlu memberi contoh kepada rakyat Malaysia dengan tetap menjalani kuarantin selepas kembali dari lawatan diplomatik ke Timur Tengah, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Bekas menteri kesihatan itu berkata, walaupun sudah iberi vaksin, mereka tetapperlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana vaksin tersebut tidak memberikan perlindungan 100% terhadap Covid-19.

“Vaksin Covid-19, walaupun sudah diberikan dos kedua namun ia tidak memberikan perlindungan 100% terhadap Covid-19.

“Ini bererti bahawa walaupun PM diberi vaksin sepenuhnya, beliau masih boleh dijangkiti Covid-19 sehingga menjadi penyebar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bahawa vaksin hanya memberikan perlindungan 100% daripada mendapat gejala Covid-19 yang teruk (mengelakkan kemasukan ICU) dan 95% terhadap simptomatik selepas dos kedua.

Dr Dzulkefly berkata bahawa PM perlu mengikut peraturan diluluskan olehnya sendiri.

Tambahnya seramai 330 individu didenda RM10,000 semalam kerana melanggar SOP Covid-19.

“Kita tidak boleh terus menggunakan pilih kasih iaitu satu untuk VVIP dan yang lain untuk orang ramai. Bukankah sepatutnya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara diasingkan selama 10 hari?,” katanya.

Beliau menambah bahawa kegagalan dasar kesihatan awam biasanya disebabkan oleh kerajaan yang lemah.

“Dan untuk mempunyai kerajaan yang baik, anda harus mempunyai pemimpin yang kuat, amanah, dihormati dan terhormat. Tetapi sayangnya Malaysia nampaknya kurangnya pemimpin seperti itu,” katanya.  – 13 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen