THAILAND menangguhkan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca pada Jumaat, menghalang Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha daripada mendapatkan suntikan pertama ketika beberapa negara Eropah menunda program mereka kerana bimbang pembekuan darah.
Kerajaan dijadualkan mula memberikan vaksin Oxford/AstraZeneca pada Jumat, dengan Prayut sepatutnya menerima suntikan pertama.
Tetapi pada pukul 8:30 pagi (01:30 GMT), acara itu dibatalkan secara tiba-tiba, dan sidang media dengan pegawai kesihatan diadakan.
“Suntikan vaksin untuk rakyat Thailand mesti selamat, kita tidak perlu terburu-buru,” kata Piyasakol Sakolsatayadorn, penasihat jawatankuasa vaksin Covid-19 negara itu, pada sidang media.
“Walaupun kualiti AstraZeneca bagus, beberapa negara meminta penangguhan. Kami juga akan menundanya.”
Denmark, Norway dan Iceland menangguhkan penggunaan vaksin Oxford/AstraZeneca sehari sebelumnya.
Austria pada Ahad menghentikan penggunaan dos daripada satu kumpulan, selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia kerana “masalah pembekuan darah yang teruk” beberapa hari selepas menerima suntikan anti-Covid-19.
Namun, masih belum ada kaitan antara vaksin dan pembekuan darah, dan Denmark menegaskan tindakannya hanyalah pencegahan bagi meneliti risiko.
Ahli virologi Thailand Yong Poovarawan berkata kerajaan menunggu negara Eropah yang lain untuk “membuat kesimpulan”.
“Kami menunda untuk membiarkan orang lain membuktikan (kesan sampingan) sama ada atau tidak kerana vaksin atau hanya pada kumpulan tertentu,” katanya, sambil menambah kumpulan yang diterima Thailand dibuat di sebuah kilang di Asia.
Prayut berkata pada Jumaat petang beliau bersedia untuk divaksinasi tetapi kemudian diberitahu untuk menangguhkannya.
“Saya perlu mendengar nasihat doktor ... saya rasa syarikat itu sendiri juga akan mempunyai penjelasan,” katanya kepada wartawan yang bertanya adakah beliau takut.
“Saya hidup sehingga hari ini - apa yang perlu saya takutkan?” soalnya sinis.
Thailand melancarkan kampen vaksinasi bulan lalu, dengan vaksin Sinovac buatan China, dan pekerja kesihatan adalah yang pertama menerima suntikan pada 28 Februari.
Penghantaran Sinovac tiba dengan sambutan di lapangan terbang Bangkok, dengan seorang pegawai kedutaan China berkata eksport vaksin menunjukkan “hubungan lebih erat antara China dan Thailand”.
Thailand, yang melaksanakan sekatan ketat terhadap individu yang memasuki wilayahnya bagi mengekang virus itu, berjaya menyekat kesannya dengan hanya mencatat 26,000 kes dan 85 kematian. – AFP, 13 Mac, 2021.
Komen