10 kluster baharu Covid-19, 5 berkaitan tempat kerja dan 5 komuniti


Ravin Palanisamy

Remaja di Kota Kinabalu, Sabah memakai topeng muka bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19. Sebanyak 246 kes dicatatkan dari kluster baharu di mana kluster berkaitan komuniti menyumbang sebanyak 119 kes. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 Mac, 2021.

SEBANYAK 10 kluster baharu Covid-19 dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini sebanyak 440, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata lima kluster tempat kerja dan lima jangkitan berkaitan komuniti direkodkan hari ini.

Noor Hisham berkata daripada lima kluster komuniti, tiga dikesan di Sarawak dan dua di Selangor.

Beliau berkata sebanyak 246 kes dicatatkan dari kluster baharu di mana kluster berkaitan komuniti menyumbang sebanyak 119 kes.

Mengulas lanjut mengenai kluster komuniti Noor Hisham berkata kluster Sena yang melibatkan daerah Miri dan Subis di Sarawak menyumbang sebanyak 61 kes – yang paling banyak di antara kluster yang dilaporkan hari ini.

Noor Hisham berkata jangkitan lain yang berkaitan dengan komuniti di Sarawak adalah Buloh Pasi (21 kes) dan Jalan Main Bazaar (12 kes).

Di Selangor Noor Hisham berkata dua kluster komuniti tersebut adalah Jalan Tempua (7 kes) dan Jalan Kunci Air (18 kes).

Katanya, kedua-dua kluster ini melibatkan daerah Hulu Selangor sementara kluster Jalan Kunci Air merebak di Gombak. 

Bagi kluster tempat kerja, Noor Hisham berkata kluster Lintang Bayan Lepas di Pulau Pinang mencatatkan paling banyak kes dengan 59 jangkitan.

Sementara itu katanya, kluster Jalan Laksamana dengan 23 kes telah merebak ke pelbagai daerah termasuk Manjung dan Kuala Kangsar, Perak; Lembah Pantai dan Kepong, Kuala Lumpur; Kota Belud, Sabah; Bachok, Kelantan; Kuala Nerus, Terengganu dan Timur Laut, Pulau Pinang.

Katanya, kluster tempat kerja lain ialah Jalan Industri Dua (Selangor) - 18 kes, Landang Bukit (Terengganu) - 15 kes dan Jalan Pelepas Dua (Johor) - 12 kes.

Noor Hisham berkata daripada 440 kluster aktif, 60 masih aktif melaporkan kes baharu.

Katanya, kluster yang melaporkan kes tinggi hari ini adalah Lintang Bayan Lepas dengan 26 kes, DTI Persiaran Wawasan (26 kes) dan Teknologi Emas (24 kes).

Selain itu, Noor Hisham berkata 10 kluster berakhir hari ini, menjadikan jumlah kluster keseluruhan di negara ini sebanyak 792.– 12 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen