ORDINAN Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 mengenai berita palsu yang baharu diwartakan merupakan suatu remedi jangka masa pendek khusus bagi membendung penularan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan proklamasi darurat, kata Saifuddin Abdullah.
Menteri komunikasi dan multimdia berkata ordinan itu hanya memfokuskan kepada berita palsu berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat tanpa melibatkan sebarang unsur politik.
“Selain itu, ordinan ini dihasratkan untuk mempercepatkan proses penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan.
“Ia bagi membendung penularan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan proklamasi darurat sahaja demi ketenteraman dan kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.
Saifuddin juga berkata Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) boleh dimansuhkan oleh Parlimen apabila ia bersidang.
Sementara itu Takiyuddin berkata ordinan itu jelas menyatakan ia bagi menangani berita palsu berhubung Covid-19 dan proklamasi darurat dan menambah denda RM100,000 hanya boleh disabitkan hanya setelah proses undang-undang yang panjang.
Di bawah undang-undang baharu yang berkuatkuasa hari ini, mana-mana pihak yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan” berita tidak benar mengenai Covid-19 atau proklamasi darurat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan yang berterusan, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” menurut warta itu. – 12 Mac, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen