Khairy minta polis tak hukum pemberi maklumat


Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata beliau telah meminta polis tidak menghukum pemberi maklumat yang mendedahkan kelemahan program pemberian vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2021.

KHAIRY Jamaluddin telah meminta polis tidak menghukum pemberi maklumat yang mendedahkan kelemahan program pemberian vaksin Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu di Twitter hari ini berkata perkara itu telah beliau maklumkan kepada Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

“Saya belum mendedahkan identiti mana-mana pemberi maklumat yang telah menghantar e-mel kepada saya. Sebahagian maklumat ini telah digunakan untuk memperbetulkan senarai janji temu yang dibuat.

“Setakat laporan polis yang dibuat, proses sewajarnya akan diambil tetapi saya telah meminta IGP untuk tidak menghukum pemberi maklumat,” kata di Twitter hari ini.

Beliau mengulas siasatan polis ke atas seorang individu yang disyaki menyebarkan dakwaan bahawa Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba memotong giliran sebagai penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Pada 3 Mac, pegawai khas kepada Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Mohamed Taufik Ramli membuat laporan polis ke atas seorang individu yang mendakwa 200 anggota SUK Kelantan cuba memotong giliran penerima suntikan vaksin Covid-19.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh Exco kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, dan menuntut Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sekiranya ada pegawai yang menyebarkan dakwaan tersebut.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat pada Selasa dipetik Bernama berkata pihaknya menghubungi suspek berkenaan yang berada di Putrajaya untuk menetapkan tarikh bagi merekodkan keterangannya.

“Dalam siasatan setakat ini, polis juga sudah mengambil keterangan daripada tujuh saksi,” katanya.

Menerusi satu lagi hantaran di Twitter, Khairy yang juga menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata Hamid memahami pentingnya untuk melindungi pemberi maklumat.

“KPN faham, dia juga pemberi maklumat.

“Saya tidak mahu dilihat dan tidak boleh mengganggu kerja polis. 

“Tetapi oleh kerana ini isu melibatkan kepentingan awam, saya mesti menjelaskan bahawa saya telah bercakap dengan KPN mengenai perkara ini dan jangan hukum pemberi maklumat,” katanya. – 12 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen