Saya akan hubungi Zahid lagi jika banjir, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, untuk menyelamatkan nyawa rakyat, beliau akan hubungi lagi Zahid supaya memberi bantuan kecemasan dari tentera walaupun secara politiknya mereka bermusuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Januari, 2018.

KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini berkata beliau akan menghubungi bagi mendapatkan bantuan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi jika negeri itu dilanda banjir teruk lagi.

Beliau berkata, untuk menyelamatkan nyawa rakyat, beliau akan hubungi lagi Zahid supaya memberi bantuan kecemasan dari tentera walaupun secara politiknya mereka bermusuh.

“Dalam tempoh darurat, kita harus cari segala macam cara untuk selamatkan rakyat.

“Kalau berlaku benda yang sama di masa akan datang, saya akan buat (hubungi Zahid) lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kenyataan Guan Eng itu sebagai reaksi kepada kritikan terhadapnya yang menghubungi pemimpin kedua tertinggi Barisan Nasional dan Umno untuk mendapatkan bantuan ketenteraan bagi meyelamatkan mangsa banjir dan taufan pada November lalu.

Ribut kencang pada 4 dan 5 November lalu telah mengundang hujan lebat berserta bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir selain pokok tumbang di serata Pulau Pinang.

Dalam keadaan terdesak untuk membantu rakyat pulau mutiara itu, Guan Eng telah menghubungi Zahid awal pagi 5 November lalu bagi memohon bantuan.

Tambah Guan Eng, sehingga hari ini beliau sedih kerana menjadi mangsa kecaman politik kerana menghubungi Zahid.

“Saya tak faham kenapa salah untuk meminta pertolongan dari kerajaan persekutuan waktu bencana banjir untuk selamatkan mangsa. Tetapi tak salah pula kalau tolong BN untuk tutup skandal 1MDB?

“Tak masuk akal langsung. Harapnya orang yang gila dalam BN sahaja akan cakap benda yang macam itu,” katanya.

Apabila ditanya kepada siapa beliau katakan itu, Guan Eng berkata: “Saya rasa awak tahu (siapa saya maksudkan). Dari ‘biru’ ke ‘hijau.’”

Bagaimanapun, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP enggan menamakan siapa yang mengutuk beliau mahupun memetik nama penerbitan berita yang membuat laporan berita itu.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff yang menghentam Guan Eng kerana menggelar parti Islam itu sebagai “sesat” kerana dipuji oleh BN yang dikuasai Umno.

Fauzi berkata, Guan Eng cakap tidak serupa bikin apabila mengatakan yang PAS dan Umno mempunyai hubungan baik, malah menggesa Guan Eng mencerminkan diri kerana menghubungi Zahid berhubung bencana banjir November lalu.

“Seingat saya, dia menangis meminta pertolongan Zahid hari itu? Bila Zahid datang, dia peluk pula Zahid, semacam nak tunjuk betapa baiknya hubungannya dengan Zahid…

“Cermin diri sendiri dulu sebelum tuduh orang lain ‘sesat’,” katanya seperti dipetik NST Online.

DAP dan PAS bergaduh sejak 2015 yang kemudiannya memecahbelahkan Pakatan Rakyat, gabungan pembangkang ketika itu.

DAP mengkritik PAS kerana mesra dengan Umno semenjak Abdul Hadi mengambil alih jawatan, selain mendakwa parti Islam itu juga tidak mempersoalkan skandal dan kontroversi yang berkait dengan BN.

Sementara itu, Guan Eng bersetuju dengan cadangan  kerajaan persekutuan untuk membuka Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pulau Pinang.

Beliau berkata kerajaan persekutuan telah menunjukkan keinginan untuk menyewa premis bekas Majis Bandaraya Seberang Perai di Butterworth untuk dijadikan UTC.

“Kami tak ada masalah dengan itu. Preis itu boleh dipakai. Mereka boleh masuk bila-bila mereka dah bersedia.

“Ia untuk kepentingan rakyat, kita boleh tolak ketepi politik.

“Tapi kita tetap tak akan bekerjasama dengan BN untuk menutup skandal 1MDB,” katanya. – 2 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen