POLIS masih belum menahan mana-mana suspek berkaitan kejadian “bom air” di luar sebuah gereja di Petaling Jaya pada Isnin, mengatakan yang ia berlaku disebabkan pergaduhan dua kumpulan remaja.
Ketua Polis Petaling Jaya Mohd Zani Che Din berkata saksi memberitahu polis yang remaja bermotosikal itu dilihat mengejar satu sama lain sebelum bom air itu dilempar ke depan pintu masuk Gereja Luther Centre di Jalan Utara, Petaling Jaya selepas tengah malam itu.
“Siasatan awal mendapati yang ia tiada kaitan dengan gereja tetapi hanyalah provokasi antara dua kumpulan remaja.
“Bom air itu yang dilempar salah satu kumpulan terlibat terkena depan gereja dan satu lagi pada pintu masuk gereja,” kata Zani.
Masih belum ada yang ditahan, tambahnya lagi.
Tiga orang-pasangan dalam usia 40-an dan seorang pelajar Zimbawe- cedera dalam kejadian itu.
“Suaminya berumur 48 tahun cedera ringan di belakang badan dan isterinya 45 tahun luka di kening. Pelajar Zimbabwe berusia 25 tahun itu pula cedera di dahi,” katanya lagi.
Bom itu dipercayai diubah suai menggunakan mercun.
“Kami percaya ia tiada kaitan dengan jenayah benci agama. Bagaimanapun, kami sedang cuba mendapatkan rakaman CCTV di kawasan itu untuk siasatan. Kami menggesa orang awam untuk memberikan maklumat kepada kami melalui 03-97662222.” – 2 Januari, 2018.
Komen