KES jangkitan Covid-19 di Sarawak menunjukkan trend yang menakutkan kerana majoriti individu yang diuji positif tidak mempunyai simptom atau tanda dijangkiti wabak itu.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, daripada 168 kes yang dikesan hari ini, hanya 13 kes atau 7.74% mempunyai simptom selepas disaring.
Angka itu lebih tinggi semalam apabila 30 daripada 199 kes yang dikesan menunjukan simptom selepas mereka diuji.
Statistik jawatankuasa itu hari ini juga 48 kes melibatkan kluster sedia ada manakala 92 lagi diarahkan menjalani ujian saringan selepas dikesan ada kaitan dengan kontak rapat dengan individu yang dijangkiti wabak itu.
26 lagi pesakit yang menjalani ujian saringan di klinik kerajaan dikesan tidak menunjukkan simptom wabak itu.
Kes baharu di negeri itu terus mencecah tiga angka dengan Sibu paling banyak mencatatkan kes sebanyak 49.
Bintulu merekodkan 37 kes disusuli Miri (19), Betong (19), Kuching (12), Kapit (10), Meradong (10), Bau (4), Julau (4), Mukah (3) danLimbang (1).
Keseluruhan kes jangkitan di negeri itu kini mencecah 11,878.
Jawatankuasa itu juga berkata Jabatan Kesihatan Negeri hari ini mengumumkan penamatan kluster Jalan Pengiran di penempatan Matu di daerah Mukah selepas tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 14 hari lalu. – 11 Mac, 2021.
Komen