Beri pengampunan supaya Pati tampil dapatkan vaksin Covid-19, kata Pakatan


PUTRAJAYA harus memberi pengampunan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk menggalakkan mereka tampil mendapatkan vaksin Covid-19, kata Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH).

Jawatankuasa itu berkata polisi program pengampunan perlu untuk membina kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan Pati.

Ia juga bagi menghilangkan rasa bimbang ditangkap selepas Jabatan Imigresen menahan ramai Pati selepas berjanji tidak akan mengambil tindakan jika mereka tampil untuk menjalani ujian saringan Covid-19 tahun lalu.

“Terdapat kira-kira seramai 1.2 juta hingga 4 juta (data tidak rasmi) pandatang asing tanpa dokumen di Malaysia.

“Oleh sebab itu, untuk mencapai 70% imuniti kelompok kerajaan perlu membina kepercayaan dalam kalangan pendatang asing termasuk yang tidak berdokumen supaya tampil mendapatkan vaksin tanpa rasa bimbang dihukum atau dihantar pulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, tindakan kerajaan menahan Pati sebelum ini mencetus rasa tidak percaya dalam kalangan mereka.

Program pengampunan yang dijanjikan mesti jelas, menyeluruh dan dihitam putihkan bagi menghakis keraguan dengan berkesan.

“Kerajaan harus bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) dan organisasi masyarakat sivil untuk membantu mencari pelarian dan pendatang tanpa dokumen untuk divaksin.”

Selain itu, kerajaan juga perlu mengenal pasti lokasi komuniti pendatang asing termasuk tempat kerja, kilang atau kawasan tempat tinggal mereka dan wujudkan pusat pemberian vaksin di kawasan tersebut.

“Kerajaan boleh bekerjasama dengan NGO seperti Mercy Malaysia, Doctors Without Borders atau klinik komuniti yang sering dikunjungi pendatang asing.”

Pendekatan kemanusiaan penting dalam usaha membendung penularan Covid-19 dan masyarakat benar-benar dilindungi apabila semua orang mendapat vaksin, tambahnya.

“Akhir sekali, maklumat berkenaan imunisasi dan dasar pengampunan perlu disampaikan dengan cara dan bahasa yang bersesuaian untuk menjangkau seluruh masyarakat di Malaysia terutamanya pendatang asing.”

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini memberi jaminan tiada sebarang tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap Pati supaya mereka berani tampil ke hadapan menerima suntikan vaksin. – 11 Mac, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen