BARISAN pelapis dalam Pakatan Harapan (PH) sedia menggalas tanggungjawab mentadbir negara dan mengambil alih Putrajaya semula, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
Naib presiden Majlis Presiden PH itu memberitahu The Malaysian Insight, mereka berpengalaman mentadbir di jawatan penting kerajaan ketika menguasai Putrajaya selama 22 bulan.
Para pelapis ini akan mengambil alih apabila zaman pemimpin kanan seperti Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah berlalu, katanya dalam satu wawancara.
“Pimpinan barisan kedua kena bersedia dan bilangan mereka ramai sebenarnya. Ramai di kalangan Amanah, PKR dan DAP yang boleh jadi kumpulan pasukan kepimpinan kedua yang boleh diberikan peluang.
“Saya tak bimbang. Saya yakin barisan kedua ini punya pengalaman pentadbiran. Majoriti kami bekas menteri, timbalan menteri, dan mempunyai rekod cemerlang dalam politik.
“Ramuan itu cukup mendewasakan dan mereka akan ambil alih kepimpinan negara setelah tokoh utama seperti Tun (Dr Mahathir), Anwar (Ibrahim), Ku Li (Tengku Razaleigh) tidak ada lagi.”
Bagaimanapun buat masa ini PH masih mengekalkan Anwar, yang juga presiden PKR sebagai calon perdana menteri mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau menjelaskan keperluan memupuk pemimpin pelapis tersebut dengan mengambil kira faktor usia para pemimpin kanan dalam Pakatan Harapan pada waktu ini.
“... Kalau dilihat sendiri, faktor umur Anwar sendiri yang majoriti di belakang beliau kepimpinan utama dalam lingkungan umur 70-an hingga 60-an.
“Setakat perjanjian dalam PH begitu (Anwar calon perdana menteri) kecuali ada keputusan baru,
“Semuanya akan dibincang dan diputus melalui meja perundingan atas nama Majlis Presiden PH,” kata ahli Parlimen Pulai itu.
Salahuddin yakin barisan kepimpinan politik akan datang mampu membawa politik ke landasan yang betul.
“Kita harus perbetulkan dan bawa kembali pemain politik ke landasan kerana fenomena yang ada hari ini menjengkelkan dan memalukan.
“Membeli wakil rakyat, semuanya sebab duit harus dibunuh. Politik tak bermoral, tidak berintegriti harus dibuang,” kata Salahuddin.
Beliau juga yakin politik tanah air melalui proses kematangan selepas ramai wakil rakyat lompat parti sejak bermulanya gerakan Langkah Sheraton pada tahun lalu.
Tindakan ahli Parlimen PH yang meninggalkan parti itu membolehkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri kelapan dan membentuk kerajaan baharu .
Sejak itu, episod lompat melompat parti berterusan dalam kalangan ahli Parlimen dan wakil rakyat negeri, termasuk dari kalangan pemimpin Amanah.
“Kita menuju ke arah politik lebih matang, ini tahap berlakunya penyingkiran watak-watak atau pemain ini.
“Kita perlukan pengalaman dan iltizam. Kita menuju ke arah kepimpinan negara ke era yang lebih baik dan bertanggungjawab dan tinggalkan politik lompat parti, beli kerusi yang menjengkelkan ini,” katanya.
Akhir bulan lalu tiga lagi wakil rakyat Amanah keluar parti untuk menyertai sekutu mereka dalam PH, PKR.
Tiga wakil rakyat Johor itu terdiri daripada Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).
Terdahulu Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar juga keluar parti untuk menyertai PKR. Seorang lagi, Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman menjadi wakil rakyat Bebas. – 11 Mac, 2021.
Komen