Motif pembunuhan aktivis Islam masih belum dikenal pasti 


Alfian Z.M. Tahir

Hasil bedah siasat mengesahkan aktivis Nik Khatijah Nik Mud dijerut hingga mati. – Gambar Facebok, 10 Mac, 2021.

POLIS masih belum mengenal pasti motif sebenar di sebalik pembunuhan aktivis Nik Khatijah Nk Mud yang ditemui mati berhampiran rumahnya di Jalan Reko, Kajang di Selangor semalam.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan tidak mempunyai hubungan dengan mangsa.

Malah barangan milik Nik Khatijah juga tidak hilang.

Polis juga percaya kes ini boleh diselesaikan sekiranya mereka boleh mencari siapa yang embawa kereta aktivis Ikram itu ke stesen minyak yang terletak satu kilometer dari rumahnya.

“Lelaki terbabit bukan teman lelakinya. Mereka tiada sebarang hubungan, hanya rakan sekerja.

“Tiada barangan milik mangsa yang hilang jadi kami menolak kemungkinan rompakan atau pecah masuk,” kata sumber.

Kabel elektrik turut ditemui berhampiran mayat mangsa.

“Kami percaya ia digunakan untuk menjerut mangsa,” katanya.

Sementara itu, bedah siasat mengesahkan Nik Khatijah dijerut hingga mati.

“Hanya satu kesan cedera pada leher,” kata satu lagi sumber.

Semalam, polis dilaporkan menahan seorang lelaki berusia 57 tahun susulan penemuan mayat Khatijah.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa ditemui rakan sekerjanya pada pukul 9 pagi.

Polis mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Nik Khatijah merupakan aktivis Pertubuhan Ikram dan merupakan pengurus Jabatan Advokasi organisasi berkenaan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight kereta jenis Nissan Almera milik Nik Khatijah ditemui berhampiran sebuah stesen minyak.

“Menurut sumber polis telah mendapatkan rakaman CCTV stesen minyak berkenaan namun ia tidak fokuskan ke kawasan parkir.

“Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti siapa yang meletakkan kereta berkenaan di stesen minyak. Kami percaya jika kami menemui individu ini kes ini dapat diselesaikan.”

Tambah sumber, kereta berkenaan ditemui oleh rkan sekerja Nik Khatijah yang turut menemui mayatnya.

“Rakannya itu risau selepas dia tidak hadir bekerja dan kemudian ke rumah berkenaan untuk menemui tuan rumah sebelum meminta kunci. Dia kemudian menemukan mayat dan membuat laporan polis.” – 10 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen