KEMENTERIAN Kesihatan mengesan lima kluster baharu Covid-19 hari ini, termasuk satu import.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kini terdapat 13 kluster yang sudah tamat.
Dengan itu katanya jumlah kluster aktif di negara ini adalah 449.
Beliau berkata kluster Pona di Johor dikesan selepas sebuah kapal kargo yang berlayar ke Surabaya, Indonesia berlabuh di pelabuhan Pelabuhan Tanjong Pelepas pada 6 Mac.
Setakat 10 Mac katanya 25 individu disaring dan lapan daripadanya disahkan positif.
Kluster Parit Penyengat Darat juga di Johor melaporkan 124 kes selepas ujian saringan dijalankan di sebuah kilang.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata dua kluster dilaporkan di Hulu Langat, Selangor.
Katanya kluster Sungai Puter yang merekodkan 21 kes diklasifikasikan sebagai penularan komuniti dan kluster Dagang Permai di Ampang melaporkan 16 kes.
Beliau berkata Dagang Permai diklasifikasikan sebagai kluster tempat kerja dan melibatkan kakitangan serta pengawal keselamatan sebuah kompleks membeli belah.
Noor Hisham berkata kluster kelima dilaporkan hari ini adalah Melor Permai di Pusa, Sarawak. Kluster yang merekodkan 1 kes itu dikesan menerusi kes indeks bergejala.
Noor Hiham turut mengumumkan kluster Dialisis Batu, Intan Mas, Kupang, Tapak Pembinaan Jalan Nipah, Sri Gading, Jalan Ithnin, Padas Damit, Kampung Samin, Seri Bayu, Industri Grisek, Jalan Suasa, Kampung Lukut, dan Jalan Satu KKIP ditamatkan. – 10 Mac, 2021.
Komen