Hormati keputusan mahkamah mengenai 'Allah', kata kumpulan antara agama


Noel Achariam

Kami berharap negara ini akan terima keputusan itu dan menghormati undang-undang, kata kumpulan antara agama itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Mac, 2021.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang tepat dengan membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah “Allah” oleh itu rakyat perlu menghormati keputusan itu, kata kumpulan antara agama.

Presiden Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) R.S. Mohan Shan berkata keputusan itu tepat kerana setiap orang mempunyai hak untuk kebebasan beragama.

“Tidak ada salahnya menggunakan kalimah Allah (untuk Tuhan).

“Kami berharap negara ini akan terima keputusan itu dan menghormati undang-undang,” kata Mohan Shan kepada The Malaysian Insight.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi KL memutuskan Jill Ireland dari Sarawak boleh menggunakan kalimah “Allah” untuk mengamalkan agamanya.

Hakim Nor Bee Ariffin juga berkata arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang penggunaan perkataan bermaksud “Tuhan” dan juga perkataan lain, adalah menyalahi undang-undang dan tidak mengikut Perlembagaan.

Peguam Annou Xavier yang mewakili Jill Ireland juga berkata keputusan mahkamah bermaksud “Allah” dapat digunakan di seluruh Malaysia, dan bukan hanya di Sabah dan Sarawak di mana kebanyakan orang Kristian adalah bumiputera.

Mohan Shan berkata, keputusan itu tidak boleh dijadikan isu sensitif atau perkauman.

“Kita semua hidup bersama dengan damai, jadi kita harus saling berusaha dan memahami. Kita dengan rendah hati meminta orang ramai terima keputusan itu.”

Semasa prosiding, Nor Bee, yang merupakan hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi, turut mengakui hakikat masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan “Allah” selama beberapa generasi dalam menjalankan kepercayaan mereka.

“Allah” yang merupakan bahasa Arab untuk “Tuhan” digunakan dalam Bahasa Malaysia, yang merupakan bahasa yang digunakan oleh masyarakat Kristian Bumiputera itu.

“Fakta bahawa mereka telah menggunakannya selama 400 tahun tidak dapat diabaikan,” kata Nor Bee.

Dalam saman yang difailkan pada 2008, Ireland meminta pengiystiharan rasmi atas hak perlembagaannya untuk mengamalkan agama dan tiada diskriminasi di bawah Artikel 11 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memfailkan samannya selepas lapan CD bahan pendidikan Kristian yang mengandungi kalimah “Allah” dirampas daripadanya di klia2 selepas kembali dari Indonesia.

Pada 2014, mahkamah tinggi memutuskan untuk memihak kepadanya dan mendapati bahawa Kementerian Dalam Negeri salah menyita CD tersebut, memerintahkan mereka memulangkan kepada Ireland dan juga membayarnya sebanyak RM5,000. – 10 Mac, 2021.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi KL memutuskan Jill Ireland dari Sarawak boleh menggunakan kalimah


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen