PEMAIN pelancongan Sarawak perlu menunggu lebih lama kerana program Gelembung Pelancongan Bersasar untuk kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) diumumkan Putrajaya semalam tidak melibatkan negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Abdul Karim Hamzah memberitahu The Malaysian Insight, negeri ini mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza mengenai pergerakan rakyat.
Larangan perjalanan antara zon Sarawak masih berkuatkuasa sehingga 15 Mac.
“Apa yang diumumkan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam hanya untuk (Semenanjung),” kata Karim.
Karim berkata, jawatankuasa pengurusan bencana negeri akan mengkaji penarikan larangan perjalanan terbaharu di Semenanjung yang menyasarkan industri pelancongan dan pelancongan.
“Sarawak ada SOP sendiri dan akan menggunakan SOP persekutuan (bila) difikirkan sesuai,” tambahnya.
Bagaimanapun beliau berkata pemain industri pelancongan negeri perlu kekal optimis dan bersiap untuk pembukaan kembali industri ini.
Karim berkata, dengan adanya vaksinasi besar-besaran sekarang, pembukaan semula hanya menunggu masa sahaja.
Ismail Sabri berkata lawatan dan perjalanan dari satu kawasan PKPP ke kawasan lain, dan dalam kawasan PKPP berkuat kuasa mulai hari ini.
Digambarkan sebagai “gelembung pelancongan bersasar”, pelancong perlu berdaftar dengan agensi pelancongan yang diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dan tidak boleh berhenti di mana-mana negeri yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Perjalanan peribadi untuk pelancongan dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan. – 10 Mac, 2021.
Komen