Mauritius kembali adakan perintah pergerakan setelah 14 kes Covid dilaporkan


Pandangan udara menunjukkan orang ramai menunggu sambil menjaga penjarakan sosial di tempat letak kereta sebelum memasuki pasar raya kerana hanya orang yang mempunyai nama belakang bermula dari A hingga G yang dibenarkan masuk di pasar raya Super U di Grand Baie, Mauritius. – Gambar AFP, 10 Mac, 2021.

MAURITIUS pada Rabu kembali mengadakan perintah pergerakan selama dua minggu di seluruh negara, kali kedua negara kepulauan India itu mengenakan sekatan sejak pandemik Covid-19 bermula setahun lalu.

“Kami tak ada pilihan lain selain mencegah secara menyeluruh penyebaran virus dan melindungi penduduk,” Perdana Menteri Pravind Kumar Jugnauth mengumumkan pada Selasa malam yang disiarkan di televisyen.

“Pembendungan ini perlu setelah munculnya empat kes positif Covid-19 baharu, menjadikan 14 kes positif tempatan yang dilaporkan sejak 5 Mac.”

Hanya perkhidmatan penting yang akan beroperasi mulai Rabu, termasuk pelabuhan, lapangan terbang, perkhidmatan hospital dan bantuan kecemasan.

Mulai Khamis, pasar raya, kedai roti, stesen minyak dan farmasi akan dapat diakses berdasarkan putaran abjad.

“Saya yakin kami akan dapat teruskan aktiviti secepat mungkin,” kata Jugnauth.

Perintah pergerakan terbaharu berikutan menuruti perintah sama pada Mac 2020 di negara pulau berjumlah 1.3 juta penduduk itu.

Pemimpin pembangkang menyalahkan kerajaan atas kegagalan itu tetapi Timbalan Perdana Menteri Steven Obeegadoo berkata mereka telah “melaksanakan protokol kesihatan dengan ketat”.

“Mauritius tidak ada pilihan selain mengenakan perintah pergerakan ini untuk memutuskan rantaian penularan virus,” katanya.

Sehingga 7 Mac, Mauritius telah mencatatkan sejumlah 641 kes sejak awal pandemik, termasuk 10 kematian dan 40 kes aktif. – AFP, 10 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen