Zahid bidas 'kluster kuasa' dan 'kluster cari makan' dalam Umno 


Noel Achariam

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi membidas pihak yang menggunakan terma “kluster mahkamah” untuk menerangkan dirinya dan pemimpin lain parti itu yang berdepan tuduhan mahkamah.

Menurut mereka, kritikan ini datang daripada “kluster kuasa” dan kluster cari makan”, merujuk kepada mereka dari dalam dan luar Umno yang mahu parti itu terus bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15.

“Mereka kata ‘kluster mahkamah’ sila berundur konon demi selamatkan Umno. Tetapi hairan rata-rata mereka ini penyokong ‘kluster kuasa’. Mereka yang anti-Umno.

“Kluster cari makan’ yang juga dikenali sebagai ‘kluster broker’ tambah garam,” katanya merujuk kepada ahli Parlimen Umno dan pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Zahid dan pendahulunya, Najib Razak, serta beberapa ahi Umno lain digelar “kluster mahkamah” kerana mereka berdepan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram serta dilihat sebagai liabiliti kepada Umno.

Najib pada Julai lau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah melibatkan SRC International. Beliau masih berdepan tuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad.

Zahid kini berdepan 47 pertuduhan yang mana 12 daripadanya melibatkan jenayah pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan puuhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Zahid berkata pemimpin Umno tiada kluster, yang mana akar umbi parti bersatu walaupun berbeza pandangan.

Isu ini timbul selepas terdapat gerakan yang kononnya untuk menyingkirkan Zahid dari jawatan presiden Umno, terutamanya selepas beliau mengumumkan keputusan majlis kerja tertinggi minggu lalu bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15. Parti itu bagaimanapun akan kekal dalam kerajaan PN sehingga pilihan raya berlangsung.

“Kluster Kuasa’ bimbang kuasa dalam genggaman terlepas. Kluster broker’ takut hilang jawatan dan kedudukan.

“Mereka tahu sebab itu ‘kluster kuasa’ dan ‘kluster broker’ bersungguh-sungguh menghasut (akar umbi Umno).

“Berusaha meracuni fikiran mereka supaya menolak pemimpin “Kluster Mahkamah’,” katanya. – 10 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen