PENDUDUK di sepanjang Sungai Kim Kim di Johor bimbang kejadian pencemaran sisa bahan toksik berulang kembali selepas melihat tompok hitam dan berminyak yang muncul baru-baru ini.
Pencemaran kali ini hampir sama seperti insiden pencemaran besar dua tahun lalu yang menyebabkan asap beracun, menjejaskan lebih 6,000 penduduk di kawasan Pasir Gudang.
Semasa kejadian itu, sekolah terpaksa ditutup, keluarga dipindahkan sementara dan banyak yang dimasukkan ke hospital.
Penduduk kini menyeru Jabatan Alam Sekitar Johor dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk menyiasat dan memberi penjelasan mengenai pencemaran baharu sungai itu.
Timbalan Ketua Jawatankuasa Pro-tem Taman Pasir Putih, Rafee Abdullah berkata mereka bimbang terdapat pencemaran sisa toksik di kawasan itu.
“Kami lebih bimbang sekarang kerana sekolah baharu dibuka.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat memberikan penjelasan tentang apa yang terjadi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, kawasan yang terjejas di Kampung Bukit Pulai berada kira-kira 500 meter dari lokasi pencemaran pada 2019.
Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan jabatan berkaitan untuk menyiasat pencemaran di Sungai Kim Kim.
Beliau berkata sampel air sudah diambil dan dron dihantar untuk memantau aliran sungai yang terjejas untuk mengenal pasti sumber tompokan hitam.
Menurut New Straits Times, seorang lagi penduduk di kawasan itu berkata pencemaran terbaru bermula kira-kira sebulan yang lalu.
Sementara itu, Rafee berkata beliau mencium bau tidak menyenangkan dari sungai sejak November.
Beliau berkata sungai itu semakin bersih sejak setahun lalu semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), yang menyebabkan kilang dan industri berdekatan berhenti beroperasi.
Pihak berkuasa juga berusaha membersihkan kawasan itu daripada pencemaran.
“Sejak PKP, sungai lebih bersih kerana tiada kilang yang beroperasi pada waktu itu.
“Tetapi pada November, terdapat bau dari sungai. Kami tidak pasti bau apa.”
Katanya, sukar untuk mengesan aktiviti haram atau pembuangan sampah di kawasan itu kerana ia kemungkinan besar dilakukan pada waktu malam.
Sementara itu, ahli jawatankuasa pro-tem Taman Pasir Putih Sujatha Ettickan berkata beliau bimbang dengan tanda pencemaran terkini.
“Ibu saya tinggal di sini dan dua anak saya berusia tujuh dan 11 tahun belajar di SK Taman Pasir Putih.
“Kami bimbang dengan kesejahteraan anak-anak di sini.”
Sujatha berkata sejak pihak berwajib berjanji memeriksa sungai secara berkala, mereka sepatutnya segera memberi penjelasan.
Tarikh 7 Mac adalah ulang tahun kedua insiden pencemaran toksik terburuk di negara ini yang menjejaskan ribuan pelajar sekolah dan penduduk di Pasir Gudang.
Terdapat sekolah yang terletak berhampiran sungai dan pelajar dan guru mengalami loya, pening dan muntah selepas dipercayai terhidu asap beracun yang disebabkan oleh bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim.
Pencemaran tersebut mengakibatkan penutupan sementara 111 sekolah di daerah Pasir Gudang, yang menjejaskan beberapa industri dan kehidupan masyarakat di kawasan itu selama kira-kira dua minggu. – 9 Mac, 2021.
Komen