Kes Covid-19 di AS boleh melonjak jika langkah pencegahan ditamatkan


PAKAR penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS) memberi amaran melonggarkan sekatan Covid-19 ketika ini boleh mengakibatkan lonjakan semula kes di negara itu, lapor Agensi Anadolu.

“Kes mula mendatar tetapi kadar 60 hingga 70,000 kes baharu setiap hari tidak boleh diterima,” kata Anthony Fauci dalam program “Face the Nation”, CBS.

Fauci berkata demikian berikutan Texas dan Mississippi pada minggu ini menarik balik arahan memakai pelitup muka dan had sekatan kapasiti perniagaan.

Menurut ketua penasihat perubatan Presiden Joe Biden itu, langkah berkenaan sepatutnya dilakukan berhati-hati dan bertahap kerana ia berisiko untuk melonjakkan kembali kes jangkitan.

“Kita sekarang sudah berada di landasan yang betul. Kita hanya perlu bertahan sedikit masa saja lagi. 

“Sekatan perlu ditamatkan secara beransur-ansur selepas lebih ramai orang divaksin,” nasihat Fauci.

Jumlah mereka yang divaksinasi akan meningkat menjelang April dan Mei. AS akan mempunyai dos vaksin yang cukup untuk semua pada penghujung Mei.

Menurut data Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit, sekitar 90.4 juta penduduk sudah divaksin setakat ini.

AS, negara paling teruk terjejas melaporkan hampir 29 juta kes dan lebih 525,000 kematian, menurut data Universiti Johns Hopkins. – Bernama, 8 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen